Dari kiri: Pisus, Bapa Uskup Julius, Rozie dan Jellferlyne

oleh Rozie Yussally

SANDAKAN-Pada 18 April 2023 (Selasa), beberapa Staf daripada Global Shepherds Berhad (GSB) atau sebelum ini dikenali sebagai Pusat Kebajikan Good Shepherd (PKGS) telah membuat satu kunjungan hormat kepada Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom iaitu Bapa Uskup Keuskupan Sandakan yang bertempat di Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan. Mereka terdiri daripada Encik Pisus Danny Timothy (Monitoring and Evaluation Assistant), Puan Jellferlyne Joseph (Senior Programme Officer) dan Cik Rozie Yusally (Programme Officer).

Pada tahun 2017, GSB telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat yang bukan berasaskan keuntungan. GSB mempunyai ibu pejabat di Kuala Lumpur. Manakala, di Sabah pula, GSB berada di tiga kawasan iaitu di Kota Kinabalu, Keningau dan juga Sandakan.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk berjumpa secara langsung dengan Bapa Uskup Julius dan sekaligus memperkenalkan serba sedikit tentang latar belakang dan perkhidmatan GSB. Selain itu, antara intipati yang telah dibincangkan dalam perjumpaan singkat ini adalah mengenai isu serta faktor penyebabnya. Antaranya adalah berkaitan dengan isu dokumen yang kompleks, akses kepada perkhidmatan umum dalam aspek kesihatan terutamanya bagi mereka yang bekerja dan tinggal di kawasan yang jauh, dan isu keselamatan/perlindungan kanak-kanak pekerja migran. Perkongsian dari sudut pengalaman komuniti migran itu sendiri khususnya yang berada di bawah kelolaan gereja di Sandakan juga turut diperkatakan.

Bapa Uskup turut menyatakan sokongan penuhnya kepada GSB untuk menjangkau kepada komuniti migran di paroki-paroki yang berada di bawah keuskupan ini. Yang Mulia berkata, “Jikalau pihak GSB ingin mengadakan apa-apa program seperti program kesedaran berkaitan isu-isu yang telah dibincangkan tadi atau perjumpaan bersama komuniti migran, saya mencadangkan agar komunikasi terus dengan paderi paroki untuk bekerjasama dengan para ketua komuniti atau yang berkaitan dilakukan.”

Perjumpaan ini dapat memberikan pihak GSB kesempatan untuk terus meneroka dan mengetahui isu-isu yang dialami oleh komuniti-komuniti migran di Sabah khususnya di Daerah Sandakan dan mereka berharap agar kerjasama dengan pihak gereja setempat dapat terjalin dan diperkukuhkan lagi di dalam usaha menjangkau kepada komuniti yang terpinggir di dalam masyarakat dengan meneladani Yesus Gembala yang Baik, yang mencari domba yang hilang.