SOCCOM Katekatikal St. Martin,Telupid

Telupid – Pada 24 April 2023, gereja St. Martin telah mengadakan pembaptisan bayi dan kanak-kanak yang diupacarakan oleh paderi paroki Rev. Fr. Christopher Ireneus. Seramai 94 orang bayi dan kanak-kanak telah dibaptis pada hari tersebut.

Upacara penyalaan Lilin Baptis oleh penanggung untuk diserahkan kepada Ibu bapa bayi dan kanak – kanak yang baru dibaptis.

Komiti Katekatikal St. Martin telah membantu dalam pelaksanaan upacara ini supaya perjalanan lebih teratur dan selesai mengikut masa yang diperuntukkan. Pendaftaran dibuat bagi memastikan kehadiran mengikut borang yang sudah dihantar. Pendaftaran bermula pada jam 8.00 pagi, disusuli upacara lebih kurang jam 9.00 pagi dan selesai sebelum jam 12.30 tengahari. Syukur dan puji Tuhan kerana upacara pembaptisan ini berjalan dengan baik.

Dalam homili paderi paroki, sebelum memulakan upacara baptis beberapa amanat tentang tanggungjawab ibubapa dan tanggungjawab para penanggung baptisan yang perlu di renung, dipikul dan dilakukan. Sebagai ibu bapa kepada semua anak-anak yang dibaptis, mereka bertanggung jawab penuh untuk menanam dan mengembangkan iman anak-anak mereka. Anak-anak yang dibaptis belum faham mengenai pembaptisan tetapi ibu bapa yang akan main peranan untuk memastikan anak-anak ini kelak akan kekal dalam iman mereka. Ibu bapa harus membawa mereka ke gereja supaya anak-anak ini kenal dengan setiap yang ada dalam gereja dan kenal komuniti mereka. Demikian juga penanggung, akan terus bersama-sama membantu ibu bapa mendorong anak-anak yang dibaptis untuk terus bertumbuh dalam iman mereka.

“Biarkan anak-anak datang ke gereja, mereka adalah anak-anak Tuhan. Suara dan tangisan mereka adalah suara anak-anak Tuhan. Yang penting, ibu bapa kawal pergerakan mereka terutama yang boleh membahayakan keselamatan mereka. Oleh itu, jangan segan-segan bawa anak ke gereja untuk sembahyang bersama”, demikian petikan homili paderi.

Pada malam Paskah, gereja St. Martin telah menyaksikan baptisan baru seramai 87 orang, 23 orang penerimaan dari denominasi lain dan hari ini telah menyaksikan baptisan anak-anak seramai 94 orang. Mereka semua telah menjadi satu  melalui Sakramen Pembaptisan. Kesimpulannya, setiap umat yang menyaksikan upacara tersebut adalah satu kerinduan untuk memperolehi terang dari Yesus Kristus dan masih ramai yang sedang mencari terang itu. Marilah sama-sama untuk terus melayani dan berjalan bersama  membawa terang Kristus kepada mereka yang sedang mencari.

Gambar kenangan Paderi Paroki St Martin, Rev. Fr. Christopher Ireneus dan AJK Katekatikel bersama ibubapa dan bayi serta kanak-kanak yang baru dibaptis.