Disediakan Oleh: Lawrence Matusin (SOCCOM)

TELUPID – Umat Katolik di sekitar Kampung Bauto, Telupid amat bersyukur dan gembira apabila Yang Mulia Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan telah berkesempatan untuk singgah dan merayakan Misa Kudus Paskah Minggu ke-4 pada Ahad, 30 April 2023 di Kapela St. Cristiano, yang terletak 10 km dari Pekan Telupid, Sabah.

Uskup bersama umat di Kapela St. Cristiano, Kg. Bauto

Minggu Paskah ke-4 juga merupakan Minggu Panggilan atau Minggu Gembala Yang Baik. Maka dengan itu, Bapa Uskup telah membawa umat melihat dan menyedari bahawa lebih ramai pelayan gereja sebagai ‘Gembala Yang Baik’ diperlukan untuk memimpin ‘domba-domba’ di Keuskupan Sandakan.

“Makna gembala diungkapkan berulang kali dalam Mazmur dan juga pembacaan yang kita dengar hari ini, seperti Mazmur Tanggapan; Tuhan adalah gembalaku, aku takkan berkekurangan. Ini diikuti oleh tema pembacaan kedua iaitu; Kamu telah kembali kepada gembala dan pemelihara jiwa, dan bait pengantar injil; Akulah gembala yang baik, sabda Tuhan. Aku mengenal domba-domba-Ku, dan domba-domba-Ku mengenal Aku”, kata Uskup memetik petikan teks-teks yang telah dibacakan.

“Keuskupan Sandakan masih sangat kekurangan paderi dan adalah menjadi tanggungjawab setiap keluarga untuk mempromosikan panggilan dan menyokong usaha-usaha pembentukan menjadi paderi dan religius”, kata Yang Mulia lagi.

Uskup turut memberitahu tentang keperluan permohonan bantuan paderi-paderi daripada luar keuskupan apabila menjelang perayaan besar seperti Paskah dan Natal, supaya para umat yang lain terutamanya mereka yang berada di luar stasi paroki dapat merayakan Ekaristi.

Seterusnya, Bapa Uskup mengajak untuk berdoa bersama bagi ‘domba-domba’ yang telah menyahut panggilan Tuhan sebagai pemimpin umat awam dan pengikut Yesus agar mereka terus setia dalam panggilan tersebut.

Uskup bersama Seminarian Edward yang telah membantunya dalam Perayaan Liturgi. Dia berasal dari Kg. Bauto.

Bapa Uskup bergambar bersama para pelayan altar.

Selesai misa, semua hadirin bersama-sama menikmati jamuan makan tengah hari yang telah disediakan secara potluck sebagai tanda kesyukuran atas Perayaan Paskah 2023, dan juga meraikan para baptisan baharu.

Uskup bersama baptisan baharu

Makan bersama dengan umat Kapela St. Christiano, Bauto