oleh Helena Salati
Telupid – Sempena dengan sambutan hari Jururawat seluruh dunia yang jatuh pada 12hb Mei 2023. Misa Kudus untuk sambutan ini telah diadakan di peringkat paroki pada 14hb Mei 2023. Semasa misa tersebut berlangsung sebahagian besar para jururawat yang hadir turut membantu dalam tugasan liturgi.

Para Jururawat sedang menghantar persembahan.
Tema hari jururawat sedunia tahun ini adalah “Our Nurses Our Future”. Sambutan tersebut turut mendapat perhatian dari paderi Paroki, Fr. Christopher Ireneus dengan memberi dorongan tentang kepentingan pekerjaan ataupun pelayanan para jururawat kepada masyarakat. Paderi Paroki juga memberi penjelasan ringkas kepada umat yang hadir tentang permulaan sejarah perintis kejururawatan yang dikenali juga sebagai wanita dengan pelita iaitu “Florence Nightingale”.
Fr. Christopher dalam homilinya turut menyatakan pekerjaan jururawat juga berkait rapat dengan pelayanan, bagaimana Tuhan bekerja dalam kehidupan peribadi mereka kerana pekerjaan yang mereka lakukan kadangkala tidak dapat dilakukan oleh manusia biasa tetapi atas dorongan Roh Kudus, mereka akhirnya dapat melaksanakan tanggungjawab dan pelayanan mereka.

Para Jururawat yang bertugas di bahagian koir.
Paderi juga mengatakan bahawa semua perkara tersebut dapat dilihat apabila kita semua mengalami perkara yang sama dalam kehidupan kita, tetapi kadangkala kita tidak mengetahui pekerjaan Roh Kudus tersebut kerana kita kurang mengambil masa untuk merenung dan melihat hasil pekerjaan atau pelayanan kita yang sebenarnya disertai oleh Roh Kudus yang membuatkan kita dapat melakukan pekerjaannya, sehingga terhasilnya pekerjaan yang dirasakan kadangkala sebagai manusia biasa sukar untuk dilakukan tetapi tetap juga terlaksana. Maka disitulah kita menyedari bahawa Roh Kudus yang dijanjikan kepada kita sedang bekerja, telah bekerja dan akan sentiasa bekerja bersama dengan kita. Oleh itu, untuk menyedari kehadiran Roh Kudus itu kita sama-sama perlu melihat di dalam aspek pekerjaan kita.

Bawa bersama pelita yang sinonim dengan “Florence Nightingale”.
Akhir sekali, Paderi dapat simpulkan dalam pelayanan kita adalah kerana kasih Tuhanlah yang bekerja di dalam setiap peribadi kita.