oleh Jovinia Libie

SANDAKAN – Perayaan Kaamatan Peringkat Paroki Katedral St. Mary Sandakan bagi tahun 2023 diraikan buat julung kalinya selepas pandemik Covid-19, 3 tahun yang lalu. Gereja St. Mark telah diamanatkan untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran kali ini yang bertemakan Kaamatan Menyatukan Umat Menuju Gereja Sinodal atau dalam bahasa ibunda, Kaamatan Popisompuru Toinsanan Ongotumbayaan Kumaa Gereja Sinodal. Perayaan ini telah bermula seawal 1 Mei 2023 dengan Makan Amal bagi pencarian dana perayaan dan disusuli dengan sukan seperti bola sepak, futsal, badminton dan sukaneka.

Makan Malam Amal Kaamatan Peringkat Paroki Katedral St. Mary, Sandakan yang diadakan di gereja St. Mark pada 1 Mei 2023.

Acara tarik tali ialah antara acara sukaneka yang dinanti-nantikan pada 17hb Jun 2023.

Kemuncak perayaan ini telah diadakan pada 18hb Jun 2023 dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Fr. Simon Kontou, Paderi Paroki.  Selepas selesai Misa Kudus, semua para jemputan dan umat berkumpul di Dewan Serbaguna Gereja St. Mark untuk bersama-sama memeriahkan majlis dengan pelbagai acara menarik iaitu pertandingan masakan dan minuman tradisi, unduk ngadau dazanak (ratu cantik kanak-kanak), sugandoi (menyanyi), zandi tavanus (ratu cantik kaum ibu), muzik tradisional dan juga cabutan tiket bertuah. Dalam masa yang sama, umat juga berkesempatan mengunjungi gerai-gerai jualan yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman termasuklah makanan tradisi.

Unduk Ngadau Dazanak

Salah satu peserta Sugandoi

Di dalam ucapan Pengerusi Penganjur, saudara Fabian Koret mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma yang bermurah hati memberikan sumbangan sama ada dari segi tenaga, masa, kewangan dan juga doa sehingga terlaksananya perayaan ini.

Saudara Freddy Graman selaku Pengerusi Majlis Pastoral Paroki mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur dan berharap semoga kekuatan dan kerjasama dari semua pihak terus berkekalan di masa akan datang bagi menjayakan program seperti ini di paroki.

Sesuai dengan tema Kaamatan Menyatukan Umat Menuju Gereja Sinodal, Fr. Simon menyatakan bahawa sahutan tema ini membawa umat untuk mengimani Tuhan dan rapat sebagai satu keluarga untuk merayakan bersama perayaan ini. Beliau juga percaya sambutan kaamatan dapat memberi inspirasi dan semangat kepada umat untuk berkomuniti dan melayani sesama dengan kasih Kristus serta bertumbuh dalam iman bagi memupuk perpaduan dan persefahaman yang kukuh dalam gereja sinodal.

Peserta Zandi Tavanus

Persembahan paluan Gong yang mewakili Katedral St. Mary

Majlis sambutan perayaan kaamatan telah selesai pada jam 5.00 petang dan diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh Fr. Simon.