oleh Mathew Kiun, SOCCOM Beluran

Beluran – Program Retreat Singkat Komisi Kerasulan Wanita Katolik (KKWK) telah diadakan pada 22 Julai 2023 bertempat di Gereja St. Paul, Ulu Dusun, Sandakan. Retreat sehari ini bermula dari jam 7.00 pagi hingga 8.00 malam. Seramai lebih kurang 60 orang peserta yang terdiri daripada kalangan ahli KKWK dan para ibu yang datang dari Gereja Our Lady of Fatima, Beluran, Gereja St. Paul, Ulu Dusun, Gereja St. Anthony, Bukit Garam, Gereja St. Emmanuel, Jaya Bakti dan Nativity Chapel, Pelantong, Beluran.

Tema retreat singkat ini ialah “WANITA SABAR DAN BERIMAN”. Objektifnya ialah penyegaran iman di kalangan wanita dan para ibu agar diberi kekuatan iman dalam melayani suami dan anak-anak yang sering memberi hambatan dalam keluarga dan membawa mereka untuk kembali untuk mendekati gereja. Penceramah bagi retreat ini ialah saudara Gilbert Ondoi.

Dalam retreat ini juga telah diadakan Mesyuarat KKWK peringkat Paroki OLOF Beluran siri yang ke-3. Selepas mesyuarat, semua peserta retreat meraikan ulang tahun ke-7 KKWK Paroki OLOF Beluran. Pada sebelah petang semua peserta menghadiri Misa Senja yang dirayakan oleh Rev. Fr. Stephen Esquerra di Gereja St. Paul, Ulu Dusun.

Secara ringkas retreat ini sangat sesuai diadakan setiap tahun untuk memberi rangsangan emosi kepada  para wanita dn ibu yang sering mengalami stres dalam rumah tangga dan pekerjaan mereka agar mereka terus tabah dan beriman teguh dalam pelayanan dalam keluarga dan di gereja.