Artikel: Monica
Photographer: Jaymar, Monica, Shanda, Victor dan Nandes

Sempena Hari Ulang Tahun Paroki St Dominic yang ke 71 tahun, gereja meraihkan hari yang bermakna ini dengan tema “Meraih, mendengar dan berjalan bersama sebagai Gereja Sinodal”.

Sambutan Hari Paroki ini telah dirasmikan pada tanggal 2 Julai yang lalu di dalam Misa Kudus oleh Rektor Paroki Rev. Fr Stanley W. Matakim dan banyak aktiviti telah dilangsungkan selama sebulan sehingga ke acara kemuncak pada tanggal 12 dan 13 Ogos lalu.

Acara kemuncak telah dimulakan pada 12 Ogos 2023, lebih kurang jam 10 pagi dengan program mewarna kanak-kanak, dan disusuli pertunjukkan fesyen kanak-kanak yang memperagakan baju-baju tradisional mengikut suku kaum masing-masing. Acara dilanjutkan dengan pertandingan menyanyi kategori kanak-kanak setelah berakhirnya upacara Misa Kudus senja.

Pada keesokan harinya, tanggal 13 ogos 2023, acara diteruskan dengan Misa Kudus Kesyukuran yang telah dirayakan oleh Yang Mulia Uskup Datuk Julius Dusin Gitom dan dibantu oleh Rev. Fr. Stanley.

Misa di mulakan dengan perarakan masuk oleh ketua-ketua dan wakil bagi 37 KKD yang berada di bawah naungan paroki ini. Masing-masing membawa sepanduk para Santo dan Santa penaung bagi KKD masing-masing,  disusuli oleh pelayan Altar, semua pelayan Liturgi, Paderi Paroki Rev. Fr Stanley Matakim serta Yang Mulia Uskup Datuk Julius Dusin Gitom.

“Hari ini penuh rahmat bagi kita untuk merayakan pesta hari paroki, kerana itulah sebenarnya gambaran hidup kita sebagai manusia, kita merayakan dengan sukacita kerana kita merasai pelbagai rahmat yang diberikan Tuhan kepada kita” Demikianlah kata-kata Bapa Uskup dalam homili beliau. Beliau juga memberi pesanan kepada semua umat agar hidup dengan iman Tuhan sebagai pengikut Injil dengan semangat gereja Sinodal, seiring dengan Keuskupan untuk berjalan bersama.

Setelah misa kesyukuran selesai, acara dilanjutkan dengan acara pentas yang bertempat di dewan terbuka gereja. Upacara dimulakan dengan perarakan masuk oleh ketua atau wakil bagi 37 KKD dengan membawa sepanduk masing-masing, diikuti oleh Yang Mulia Uskup, Paderi Paroki, Para religius Sister dan para MPP serta diiringi lagu tema Sinodal yang juga memberi makna kebersamaan.

Upacara gimik perasmian dilakukan dengan paluan gong sebanyak 7+1 kali dan doa pembukaan oleh Yang Mulia Datuk Uskup Julius Dusin Gitom, dan diikuti acara pemotongan kek. Acara telah diserikan lagi dengan persembahan pentas oleh beberapa KKD yang terlibat dan penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan yang telah diadakan.

Acara yang begitu meriah ini telah dihadiri lebih kurang seribu umat dari pelbagai suku kaum dan peringkat usia. Terdapat juga pelbagai jenis gerai yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional dan moden. Melalui penjualan gerai ini dapat memberikan sedikit sumbangan kepada tabung pembangunan gereja.

Perjalanan acara ini telah dikendalikan oleh Majlis Pastoral Paroki (MPP) dengan kerjasama komuniti-komuniti yang lain sehingga semuanya berjalan dengan lancar. Acara ini selesai dengan penuh meriah dan keberkatan pada jam 6 petang dan ditutup dengan doa oleh Rev. Fr Stanley.