Gamber oleh: SOCCOM SDC
Artikel: SOCCOM
Lahad Datu: Pada tanggal 3 Disember 2023, gereja St. Dominic telah merayakan minggu pertama musim Adven. Di dalam perayaan misa kudus pada hari tersebut, paderi paroki Rev. Fr. Stanley W. Matakim menyatakan bahawa Adven adalah musim penantian yang penuh dengan harapan kepada kedatangan Yesus Kristus buat kedua kalinya. Di dalam homili, beliau mengingatkan kepada umat bahawa musim Adven ini bukan hanya menyiapkan persiapan luaran sahaja seperti hiasan krismas di rumah atau menyediakan masakan yang sedap-sedap. Beliau menegaskan kepada umat tentang pentingnya ada persiapan rohani di setiap diri kita untuk menyambut kedatangan Yesus dengan menyediakan palungan bayi Yesus di dalam hati masing-masing agar dapat mengingatkan mereka tentang sejarah keselamatan yang diterima oleh kita semua. Sebelum berkat penutup, semua para karolers yang akan keluar mengabarkan khabar gembira tentang kelahiran Sang Juruselamat diutus oleh paderi paroki itu.
Pada sebelah petang pula diadakan perayaan Carol by Candlelight yang telah disertai oleh 26 kumpulan KKD yang berdaftar di bawah Paroki St. Dominic, Lahad Datu. Walaupun hujan turun dengan lebatnya sebelum acara bermula di pentas terbuka gereja tetapi umat-umat serta kumpulan KKD yang terlibat tetap dengan semangatnya datang untuk memeriahkan program ini. Program ini bermula pada jam 4 petang yang disertai oleh Majlis Pastoral Paroki gereja. Sebelum program pentas bermula, Rektor paroki Rev. Fr. Stanley W. Matakim sekali lagi mengingatkan para karolers agar dapat menjadi agen keselamatan kepada semua orang melalui lagu-lagu karol yang akan dinyanyikan nanti. Selain itu, beliau juga berharap agar semua para karol tidak terlibat di dalam apa jua jenis isu-isu sensitif yang boleh mengakibatkan masalah kepada gereja.
Program Carol by Candlelight tamat lebih kurang jam 8 malam dengan lagu-lagu penutup “O Holy Night”, “Joy to the world”, Feliz Navidad dan We wish you Merry Christmas” oleh Paderi Paroki, Religius Sister, Majlis Pastoral Paroki dan setiap ketua KKD di atas pentas. Suasana menjadi lebih bermakna dan meriah semasa sesi pertukaran lilin dan bermaaf-maafan serta ucapan ‘I love you’ dilakukan di antara sesama yang hadir pada malam tersebut. Diharapkan program seperti ini akan diteruskan dan mendapat sambutan yang lebih pada masa hadapan untuk memeriahkan lagi persiapan Natal nanti. Tuhan memberkati.