Disediakan oleh Clly Gulimit

 

TELUPID – Pada 10 Disember 2023 yang lepas, Rev. Fr. Christopher Ireneus mengadakan lawatan pastoral ke St. Bartholomeus, Fortuna Group buat pertama kali selepas penubuhan Komuniti Umat Katolik (KUK) secara rasmi pada 6 Ogos 2023. Paderi bersama wakil Majlis Pastoral Paroki serta umat dari Zon Santo Nicholas bergerak dari St. Joseph, Nangoh lebih kurang pada pukul 3:00 petang dan mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk tiba di sana. Setibanya di sana, kelihatan umat telah pun bersiap sedia dan menunggu di khemah yang didirikan oleh pihak KUK untuk merayakan misa kudus.

Paderi bersama rombongan bergambar bersama sebelum memulakan perjalanan masuk ke St. Bartholomeus.

Misa kudus dimulakan pada pukul 4:00 petang dengan kehadiran umat setempat dan kawasan sekitar yang mencecah 200 orang. Selepas perarakan masuk, paderi memberkati lingkaran Adven yang disediakan seterusnya menyalakan dua batang lilin sebagai tanda telah memasuki minggu Adven yang ke-2. Paderi dalam homilinya mengajak semua untuk mempersiapkan jalan bagi Tuhan serta meluruskan jalan bagi-Nya dengan mempersiapkan diri terlebih dahulu sesuai dengan tema pada minggu tersebut yang mengajak semua untuk bersama-sama memperkukuhkan iman dan mencari damai agar dapat merayakan Natal yang bakal tiba dengan penuh pengertian. “Kita perlu merenung kehidupan kita. Adakah sekarang ini kita mahu melangkah dan berusaha mencapai damai itu agar dapat benar-benar mengerti maksud perayaan natal yang disambut kelak ataupun sebaliknya?” Begitulah ajakan paderi kepada semua umat yang hadir agar dapat merenung kehidupan masing- masing.

Kehadiran umat setempat dan kawasan sekitar ke Misa Kudus.

Selesai misa kudus, Saudara Dominikus Seran selaku pengerusi KUK St. Bartholomeus mengambil kesempatan untuk menyampaikan sedikit ucapan penghargaan kepada paderi kerana dapat mengadakan lawatan pastoral di sana. Umat begitu teruja apabila mengetahui bahawa paderi akan datang untuk merayakan misa kudus di sana sehinggakan tempat beribadat sedia ada tidak dapat menampung jumlah umat yang ramai dan pihak KUK berinisiatif untuk mendirikan khemah di kawasan padang untuk merayakan perayaan Ekaristi. Mereka turut berharap agar selepas ini akan ada lagi lawatan seterusnya daripada paderi pada masa akan datang.

Pemberkatan barang-barang kudus.

Pemberkatan lingkaran Adven.

Kemudian, paderi pula dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua umat di St. Bartholomeus atas usaha, kerjasama dan komitmen dalam membuat persiapan untuk misa kudus dengan harapan semangat sinodaliti ini dapat berkekalan. Selepas itu, paderi telah memberkati barang-barang kudus yang dibawa umat pada hari tersebut disusuli dengan acara makan bersama umat.

Saudara Dominikus Seran, Pengerusi KUK St. Bartholomeus mewakili umat menyampaikan ucapan.