Disediakan oleh Anna Sauna
Gambar oleh Lilan Tantabung

Misi Paitan, Sandakan: Pada 2hb – 3hb Mac 2024, Seminar Sukacita Dalam Kasih Keluarga telah berlangsung dengan jayanya selama 2 hari di Kapela St Simon, Kg Timpus, Misi Paitan. Seramai 156 peserta daripada beberapa buah kampung sekitarnya telah menyertai seminar tersebut.

Sepanjang seminar ini dijalankan, para peserta telah disajikan dengan  7 ceramah yang menarik dan pastinya akan memberikan pengetahuan, semangat dan kesedaran diri di kalangan ahli keluarga. Antara sesi yang disampaikan ialah komunikasi dan peranan dalam keluarga, pengambilan substan dan ketagihan gajet, cabaran keluargaku, memahami keluargaku, keibubapaan cemerlang, harapan keluargaku dan keluarga adalah anugerah dan bukan masalah.

Kumpulan ibu semasa perbincangan berkumpulan

Kumpulan Bapa dalam perbincangan berkumpulan

Setiap sesi mengetengahkan peranan dan tanggungjawab setiap ahli dalam keluarga masing-masing. Sesi perbincangan secara berkumpulan turut dilakukan selepas setiap sesi dijalankan. Para peserta dibahagikan kepada 11 kumpulan mengikut kategori para ibubapa, para belia dan kanak-kanak berumur 9 tahun ke bawah. Dalam setiap sesi, setiap kumpulan memberikan pendapat mereka melalui hasil perbincangan mereka tentang perkara yang menyumbang kepada masalah dan cara penyelesaiannya. Setelah itu, para peserta akan melaporkan hasil perbincangan mereka kepada kumpulan besar. Setiap kumpulan menghasilkan pendapat yang berbeza-beza sehingga menjadikan suasana seminar menjadi lebih rancak dan bersatu. Kanak-kanak kecil mempunyai aktiviti mereka sendiri seperti menyanyi, menari dan mewarna. Semua hasil karya mereka dipamerkan untuk pemilihan hasil yang terbaik dan kerjasama dalam kumpulan turut dinilai.

Para remaja perempuan sedang membuat pembentangan

Para remaja lelaki sedang menjawab soalan dalam kumpulan mereka

Kanak-kanak seronok dalam aktiviti menyanyi, menari dan melukis. Inilah hasil aktiviti mereka yang dipaparkan untuk pemilihan 3 yang terbaik.

Rev Fr Arthur John (paderi penguasa Misi Paitan) di dalam Misa Kudus, mengatakan bahawa gereja tidak menggalakkan cara perkahwinan yang diatur keluarga kerana ia adalah salah satu penyumbang kepada perceraian. Suami isteri harus saling mengampuni sesama dan saling menyokong antara satu sama lain dari segi fizikal, emosi dan rohani. Perceraian bukan satu pilihan gereja untuk menyelesaikan masalah rumah tangga. Beliau turut menasihati bahawa semua cabaran itu dijadikan sebagai cara memperbaiki kelemahan diri dan keluarga. Para suami dan isteri bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan dari segi akademik kepada anak-anaknya selain pendidikan kerohanian dan iman Kristiani. Fr Arthur turut menekankan betapa pentingnya masa bersama anak-anak bagi mengeratkan hubungan sesama keluarga tanpa penggunaan telefon bimbit. Berdoa bersama harus dimulakan oleh seorang suami selaku ketua keluarga dan kemudian digalakkan kepada isteri dan anak-anak dan paling penting, dalam keluarga tidak semestinya semua hal yang menggembirakan dan membahagiakan sahaja, adakalanya berlaku perselisihan faham antara sesama. Cabaran ini adalah perkara biasa yang harus kita hadapi dan tempuhi. Tetapi, apa jua cabaran dilalui, dengan berdoa dan merenung seketika sebelum mengambil tindakan adalah perlu.

Fr. Arthur menyampaikan topik semasa homilinya mengenai Keluarga adalah anugerah dan bukan masalah.

Menurut saudari Eva Siruno, keluarga itu merupakan satu gereja domestik yang harus kuat dan kukuh dari segi pelayanan, kesaksian dan kesatuan. Keluarga yang kukuh akan membangun Gereja yang kukuh. Tidak dapat dinafikan juga cabaran begitu besar pada saat ini ialah ketagihan gajet di kalangan anak-anak zaman sekarang. Tidak terkecuali juga para ibubapa yang sanggup mengabaikan keperluan anak-anak dan rumah demi untuk memenuhi kehendak diri sendiri sahaja.

Rekonsiliasi dalam keluarga merupakan salah satu aspek penting untuk menjadikan keluarga bertumbuh dalam kesucian.

Dalam sesi Harapan Keluargaku (Perdamaian), semua keluarga memberikan respon yang baik, sedar akan kesilapan diri. Pada sesi ini, semua keluarga berasa terharu dan saling maaf bermaafan antara satu sama lain. Kebahagiaan dalam keluarga sukar dicapai tanpa kesedaran kelemahan diri sendiri.

En. Ismael(gambar atas) dan En. Kayun memberi perkongsian tentang bagaimana program ini menyedarkan mereka bahawa keluarga mereka masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan dalam konteks tanggungjawab dan masa berkualiti bersama keluarga.

Melalui perkongsian saudara Ismail mengatakan beliau sangat terharu semasa sesi perdamaian kerana beliau banyak kelemahan diri dalam keluarganya dan sangat bersyukur kepada Tuhan, hari ini terjawab melalui seminar ini. Selain itu, saudara Kayun turut memberikan perkongsian beliau bahawa dia berfikir selama ini kehidupan keluarganya sudah cukup baik dan bahagia. Hakikatnya keluarganya mengalami keruntuhan kekeluargaan tanpa disedari. Tetapi syukur puji Tuhan, beliau bersyukur dan terharu kerana seminar ini menyedarkan dia untuk memperbaiki diri serta ikatan keluarganya. Para belia yang hadir pun berasa menyesal perbuatan mereka tentang sikap ketidakpedulian dan tidak mendengar nasihat ibu bapa mereka.

Semua peserta memberikan perkongsian yang amat meneguhkan dari segi iman mereka dan mereka berterima kasih serta mengalu-alukan lagi seminar sedemikian kerana dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dalam Kristus dan memupuk nilai-nilai murni yang baik dalam sesebuah keluarga Kristiani.