oleh Irene Lim
Lahad Datu, 23–24 April 2026 – Komiti Kehidupan Keluarga Gereja St. Dominic telah menganjurkan Seminar Keluarga yang berlandaskan inspirasi daripada ensiklik Paus Fransiskus. Program ini berlangsung dengan penuh pelayanan dan semangat persaudaraan Kristiani, penceramah jemputan, MSGR. Nicholas Stephen, Vicar General Sacred Heart Cathedral, Kota Kinabalu.
Seramai 200 peserta daripada wakil-wakil KKD, KPUK, serta stasi luar di bawah naungan Paroki St. Dominic telah mendaftar. Sementara itu, 16 orang AJP Komiti Kehidupan Keluarga memikul amanah pelayanan dalam mengatur dan mengendalikan keseluruhan perjalanan program dengan penuh komitmen.


Hari pertama dimulakan pada jam 7.00 malam di Dewan Gereja St. Dominic dengan pendaftaran peserta, lagu-lagu pujian, serta doa pembukaan oleh Rektor Paroki, Rev. Fr. Stanley W. Matakim. Pengerusi MPP, Saudara Willie Binati, turut memperkenalkan biodata penceramah dan menekankan tujuan seminar ini sebagai usaha memperdalam pemahaman umat terhadap ajaran Paus Fransiskus, khususnya dalam mempersiapkan keluarga sebagai saluran rohani yang dipimpin oleh Tuhan.

Sesi pertama bertajuk “Bagaimana Keluarga Menghadapi Dunia Digital/AI” disusuli dengan perkongsian kumpulan. Peserta memberikan interaksi yang aktif dengan menyumbangkan idea serta pengalaman nyata. Hari pertama berakhir pada jam 10.00 malam dengan doa penutup dan sesi bergambar beramai-ramai.
Hari kedua seminar bermula pada jam 9.30 pagi dengan lagu pujian yang mengangkat hati umat kepada Tuhan, diikuti doa pembukaan yang dipimpin oleh MSGR. Nicholas Stephen. Sesi kedua membahas Teologi Tubuh Manusia, menekankan martabat manusia sebagai ciptaan Allah yang mulia. Seterusnya, sesi ketiga menyentuh tentang Kepentingan Nilai Rohani, mengajak keluarga untuk menjadikan iman sebagai asas kehidupan seharian.

Selepas rehat tengah hari, seminar diteruskan dengan sesi keempat bertajuk Cabaran Komunikasi dalam Keluarga. Setiap sesi disusuli dengan perkongsian kumpulan yang memperkaya pengalaman rohani, emosi, serta realiti kehidupan para peserta. Perbincangan yang terbuka dan jujur telah memberi ruang kepada peserta untuk saling menguatkan, sesuai dengan semangat persaudaraan Kristiani.
Dengan susunan sesi yang teratur dan penuh makna, hari kedua seminar ini menjadi saluran pembentukan iman yang lebih mendalam, sekaligus memperkukuh peranan keluarga sebagai “Gereja Kecil” yang hidup dalam kasih Kristus.
Acara kemuncak ditutup dengan penyampaian token penghargaan kepada MSGR. Nicholas Stephen. Seminar berakhir pada jam 3.10 petang dengan doa penutup dan hidangan ringan.

Seminar Keluarga ini menjadi bukti nyata komitmen Gereja St. Dominic dalam memperkukuh iman umat melalui keluarga, sesuai dengan ajaran Paus Fransiskus bahawa keluarga adalah “harta yang tidak ternilai bagi Gereja dan masyarakat.”

