Oleh Eman @ Elias
Sandakan – Pada 12 April 2024, seramai 151 peserta telah menyertai Retret Pohon Keluarga dengan tema “Ulurkanlah tangan-Mu untuk menyembuhkan orang dan adakanlah tanda-tanda dan mujizat-mujizat oleh nama Yesus hamba Mu yang kudus.”(Kis 4:30).
Retret ini berlangsung selama 3 hari 2 malam (12- 14 April, 2024) dianjurkan oleh Tim Pelayanan Pembaharuan Karismatik Katolik (CHARIS) Gereja St, Mark, Sandakan. Jemputan penceramah retret ini di datangkan khas dari Pertapaan Karmel Kaingaran, Tambunan seramai 5 orang (4 sisters 1 brother) iaitu Sr. Terisia, Sr. Kristiana, Sr. Alberta, Sr. Loraine dan Bro. Andreas.
Retret ini bertujuan untuk membawa para peserta agar disembuhkan dan dibebaskan dari ikatan dosa dan kutukan keturunan pohon keluarga, mengubah cara hidup dari manusia lama menjadi manusia baru dengan kuasa Roh Kudus, dapat mengalami sukacita ilahi, serta membendung amalan shamanisme (pendukunan) di kalangan umat.
Misa pembukaan Retret tersebut diselebrankan oleh Rev. Fr. Simon J. Kontou bersama Romo Petrus Ece. Dalam homili, paderi telah memberi pesan dan menyeru semua yang hadir untuk mempersembahkan hati dan fikiran kepada Tuhan agar berkat Tuhan diterima. Beliau turut mengatakan kepada semua umat agar dapat berkongsi, berbagi belas kasihan dan berusaha mendamaikan diri dan keluarga.
Para peserta telah didedahkan tentang demensi sosial dosa, kesan dari dosa peribadi, terhadap orang lain yang ada di sekitarnya. Tindakan ini boleh mempengaruhi diri sendiri dan orang lain. Oleh yang demikian, penceramah mengingatkan para peserta untuk menjadi peribadi yang memulai dan melatih untuk kuat di dalam iman dan sekaligus mengajak semua untuk selalu bersyukur atas kerahiman Tuhan lebih besar dari segalanya.
Pada hari kedua Retret Pohon Keluarga, misa dirayakan oleh Romo Petrus Ece dari Keuskupan Larantuka, Indonesia. Dalam homili, beliau menyeru para peserta hidup dalam pelayanan-pelayanan dalam keluarga dan dalam tugasan yang dipercayakan kepada peribadi masing-masing.
Di sepanjang hari kedua, para penceramah telah memberikan banyak perkara baik di dalam menjaga suatu hubungan dan doa. Penceramah juga telah menyedarkan para peserta untuk harus mematahkan suatu ikatan negatif dalam hubungan yang dapat menjadi sangat dominan terhadap yang lain. Hubungan yang tidak sihat ini banyak terjadi misalnya antara ibu dan anak, ayah dan anak, nenek dan cucu, saudara dengan saudaranya atau sahabat dekat. Doa juga merupakan proses untuk penyembuhan pohon keluarga. Proses penyembuhan ini juga perlu dipraktikkan beberapa kali dan bertahap, serta memerlukan usaha mencari akarnya. Penyembuhan pada hubungan yang dominan dan mengawal jika terjadi antara orang yang masih hidup lebih mudah dibandingkan dengan mereka yang sudah meninggal.
Beberapa perkara telah difahamkan dan disalurkan kepada para peserta di dalam Retret ini antaranya doa untuk anak yang digugurkan. Unsur kesucian yang bermaksud betapa pun lemahnya, hodohnya dan buruknya keadaan ini tidak menghilangkan kesucianya kerana kesucian tidak berlawanan dengan badannya. Anak adalah anugerah penciptaan Allah yang membawa kemakmuran dan selalu disambut dengan gembira, dalam doa dan nyanyian.(Kel 21:6-7)
Kitab suci tidak pernah menyebutkan kehamilan sebagai beban dan masalah, anak adalah berkat sebab pencipta kehidupan adalah Allah sendiri. Oleh itu, kalau ada hidup yang mulai ada di dalam rahim ibu, disana lah terletak karya penciptaan Allah. Manusia adalah pembantu Allah dalam menciptakan manusia baru. Pengguguran bererti kejam dan merosakkan karya Allah. “Yang daripadaNya berasal segala sesuatu dan untuk Dia kita hidup”. (1 kor 8:6). Para peserta juga diajarkan doa untuk roh-roh dan pembebasan arwah – tradisi dalam gereja katolik iaitu mendoakan, memberkati dan mempersembahkan dalam misa serta mendapatkan indulgensi pada arwah yang didoakan dengan cara mendoakan secara khusus dan mengunjungi makam.
Perlu diingat bahawa Ekaristi merupakan pertolongan terbesar yang sangat berkuasa. Berdoa supaya dibersihkan dari segala ikatan, garis keturunan, baik yang masih hidup mahupun yang sudah mati, serta dibersihkan dari segala yang mengganggu hidup yang sehat. Kebebasan dan tanggungjawab penyembuhan adalah keterlibatan dalam misteri penyelamatan. Para peserta sekali lagi diingatkan bahawa Tuhan selalu siap menerima, mengampuni walau betapa besar pun dosa peribadi itu.
Selain itu, para peserta sekali lagi didedahkan bahawa pengakuan merupakan sikap sihat yang memerlukan kesedaran dan tanggungjawab bahawa diri telah berdosa dan mahu mengakuinya sebab jika tidak, ini akan menghalang terjadinya penyembuhan dari diri peribadi itu. Di dalam pengakuan dosa, para peserta diingatkan agar mengakui dosa sendiri dan bukan mengakui dosa orang lain. Harus mengampuni diri sendiri dan kalau susah mengampuni diri sendiri, maka mengampuni orang lain juga susah. Oleh itu, para peserta harus mempunyai kesedaran bahawa Tuhan menerima setiap peribadi apa adanya.
Tim Pelayanan Pembaharuan Karismatik Katolik (CHARIS) Gereja St, Mark, Sandakan, bersama dengan para peserta mengharapkan agar retret/seminar kendalian Pertapaan Putri Karmel dan Brother CSE Kaingaran Tambunan dapat dilaksanakan setiap tahun di Gereja St Mark bagi memantapkan lagi pembangunan rohani umat di gereja ini.