Penulis: Macshamus Bilcher
Parish Social Communications Ministry (SOCCOM)
SANDAKAN – Kerasulan Belia Paroki Katedral St Mary, Sandakan (KBP) telah menganjurkan Program SYD 6 iaitu “Worship Night” pada 16 April 2024 bertempat di Dewan Pusat Paroki St Mary. Program sepanjang Salib Belia dan Ikon Bonda Maria berada di Keuskupan Sandakan ini bermula pada 16 Mac 2024 lalu telah mengumpulkan lebih kurang seramai 130 Orang Muda Katolik termasuk para ibubapa.
Tepat jam 8 malam acara dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh saudari Leazrinna Adrina Adaris. Penganjuran “Worship Night” bersama dengan CHARIS BM dan Star of Yahweh Covenant Community, Katedral St Mary telah membawakan 13 buah lagu rohani dengan iringan tarian rebana pada lagu-lagu berentak rancak.
Seusai lagu-lagu pujian, Timbalan Kordinator KBP iaitu Saudara Corey Felino Henry memberikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam rangka menjayakan “Worship Night” pada hari tersebut.
Dalam ucapan saudara Corey juga, beliau menyeru semua para belia untuk bersama-sama dalam program berdoa bersama Salib Belia dan ikon Bonda Maria yang masih berlangsung sehingga 19 April ini sebelum Salib Belia dan ikon Bonda Maria ini akan dihantar ke Kapela St Petrus, Sungai Manila pada 21 April nanti.
Selain dari itu, terdapat juga booth jualan makanan dan minuman ringan bagi mencari dana menampung peserta ke Sabah Youth Day 6.
Acara “Worship Night” diakhiri dengan bergambar bersama semua Ibubapa, OMK dan Tim Penganjur.