Penulis : Kimberly Tan
Parish Sosial Communications Ministry (SOCCOM)

Selama satu bulan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria berada di Katedral St Mary dan kini tiba masanya Salib Belia dan Ikon Bonda Maria dihantar ke Kapela St Petrus, Sungai Manila. Sr. Noemi Mejia FSIC, Koordinator Belia Keuskupan Sandakan dan 12 orang belia Katedral St Mary telah bersama-sama dalam penghantaran Salib Belia Dan Ikon Bonda Maria ini. Perjalanan dari Katedral  ke Kapela St. Petrus dimulai pada jam 8:40 pagi selepas pimpinan doa oleh Sr Noemi. Perjalanan ini mengambil masa 45 minit untuk sampai ke destinasi.

Acara bermula pada jam 9:30 pagi diiringi dengan tarian sumazau dari Belia Universiti Malaysia Sabah untuk menyambut kedatangan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria. Salib Belia dan Ikon Bonda Maria secara rasminya diserahkan kepada umat di Kapela St. Petrus oleh Koordinator Parish Youth Apostolate Michael Phoon kepada wakil ketua Belia St Petrus Ajron Collin. Penyerahan ini disaksikan oleh seluruh umat di Kapela St Petrus dan juga wakil belia Katedral St Mary. Misa Kudus bermula pada  jam 11 pagi yang dirayakan oleh Uskup Julius Dusin Gitom.

Dalam homili, Uskup mengatakan kedatangan Salib Belia Dan Ikon Bonda Maria di gereja ini sudah tentu membuat kita gembira lebih – lebih lagi  umat yang berada di gereja ini. Oleh itu, marilah kita ambil peluang ini untuk merenung erti ‘Salib’ itu dalam kehidupan kita secara peribadi.

Acara seterusnya diadakan di dalam gereja St Petrus yang dimulai pada jam 1:30 petang dengan lagu puji-pujian, ucapan daripada Ketua Belia St Petrus Ajron Collin, Koordinator Parish Youth Apostolate, Michael Phoon dan Koordinator Belia Keuskupan Sandakan Sr. Noemi Mejia FSIC. Aktiviti seterusnya iaitu sesi Ice breaking yang diketuai oleh belia St Petrus. Sesi ini sangat meriah kerana terdapat umat yang turut menyertai dalam aktiviti ini. Aktiviti penghantaran Salib Belia Dan Ikon Bonda Maria selesai pada jam 3:30 petang dengan video ‘Kita Janji Jumpa di Keningau’