Disediakan oleh: Clly Gulimit
TELUPID – Majlis Pastoral Paroki telah melaksanakan inisiatif pembelajaran melalui Bengkel Kesetiausahaan yang diadakan pada Sabtu, 1 Jun 2024. Bengkel yang bermula pada pukul 8:30 pagi ini berjaya menarik kehadiran seramai 39 orang peserta, terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha, dan Timbalan Setiausaha Komiti, Komuniti Umat Katolik (KUK) serta beberapa umat yang berminat untuk mempelajari ilmu kesetiausahaan dalam urusan gereja.
Bengkel ini dikendalikan oleh Saudara Clly Gulimit yang merupakan Setiausaha Majlis Pastoral Paroki. Tujuan utama bengkel ini adalah untuk memantapkan pengurusan organisasi terutamanya dari aspek surat-menyurat dan pengurusan mesyuarat. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk menyeragamkan format surat-menyurat dan penyediaan minit mesyuarat bagi pengurusan di seluruh paroki, serta memberikan bimbingan tentang cara menyediakan kertas kerja mengikut format yang telah diselaraskan.
Dalam bengkel tersebut, penyampai sesi telah berkongsi mengenai teknik dan tips berguna dalam pengurusan surat-menyurat dan mesyuarat. Beliau juga menekankan kepentingan keseragaman dalam dokumen-dokumen rasmi gereja untuk memastikan kelancaran urusan dan komunikasi yang efektif.
Sepanjang bengkel ini berlangsung, terdapat beberapa pertanyaan yang diajukan oleh peserta kerana mereka ingin tahu lebih mendalam tentang peranan setiausaha dalam pengurusan organisasi. Bengkel Kesetiausahaan ini jelas sekali memberikan impak positif kepada semua yang terlibat dan diharapkan dapat membawa kepada peningkatan dalam pengurusan organisasi gereja terutama sekali Komiti dan Komuniti Umat Katolik dalam paroki St. Martin, Telupid.