Laporan oleh: Mazdollyna Majalin Eborok dan Rosemary Legada (Soccom SDC)

9 Jun 2024, St. Dominic Lahad Datu: Gereja St. Dominic, Lahad Datu telah merayakan gabungan sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai yang dianjurkan oleh Komiti TUKAD. Pesta ini dimulai dengan Misa Kudus Kesyukuran pada jam 9.00 pagi. Perayaan ini cukup bermakna kerana ianya telah diraikan oleh semua lapisan umat paroki yang terdiri dari berbilang kaum dan bangsa.

Rev Father Stanley William Matakim dalam homili mengatakan bahawa biarlah sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai 2024 ini menjadi inspirasi semua untuk memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti Paroki St Dominic tanpa memandang asal usul, ras atau warna kulit. Bersama-sama kita dalam menjayakan perayaan yang diadakan ini agar kita dapat merasakan kemeriahan dan sama-sama menuai kebahagian yang telah diajarkan oleh Yesus melalui perayaan ini.

Selepas Misa Kesyukuran, para umat gereja St. Dominic bersama – sama merayakan pesta dengan melibatkan diri dalam pelbagai acara yang telah diadakan pada hari tersebut. Antara acara yang telah disediakan oleh penganjur termasuk persembahan tarian Sumazau dan Magunatip (Belia KG Tampenau), persembahan tarian Biluk (KPUK Tungku), persembahan koir (Felda) dari outstasi, persembahan tarian Iban/Bidayuh, Pertandingan teka bilangan birid, Pertandingan makanan dan minuman tradisi, pertandingan meniup belon kanak-kanak, cabutan bertuah, Sugandoi, acara sukan tradisi dan MR Kaamatan.

Kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai tahun ini terserlah lagi dengan semangat dan keunikan yang ditunjukkan para umat dengan memakai pakaian tradisi dari suku kaum bangsa masing-masing. Ternyata semangat inilah yang diinginkan bagi menerapkan nilai sinodaliti dan perpaduan dalam kalangan umat di Paroki ini. Turut melengkapi sambutan pesta kaamatan dan Gawai juga adalah persembahan musik tradisi yang bergema di sepanjang hari berlangsungnya pesta tersebut.

Fr. Stanley turut menyatakan dalam ucapannya akan rasa kesyukuran yang berlimpah ruah dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh umat paroki yang telah menjayakan pesta pada tahun ini. Sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai peringkat Paroki St. Dominic 2024 ini telah diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori pertandingan yang telah diadakan dan juga hadiah bagi pemenang cabutan tiket bertuah.

Semoga dengan pesta seumpama ini menjadi pendorong semangat muhibah dalam kalangan umat untuk terus bersyukur atas segala yang diterima dan diberikan oleh Tuhan. Dengan adanya semangat perpaduan dalam umat Paroki St Dominic Lahad Datu ini, dapatlah Paroki St. Dominic untuk terus berjalan bersama dengan aman dan bersatu padu di dalam pelayanan di ladang Tuhan kita. Efesus 4 : 11- 16 “Dari pada-Nyalah seluruh tubuh, – yang rapi tersusun dan diikat menjadi satu oleh pelayanan semua bagiannya, sesuai dengan kadar pekerjaan tiap-tiap anggota – menerima pertumbuhannya dan membangun dirinya dalam kasih.”