Artikel dan gambar disediakan oleh: Javy James (SOCCOM)
TELUPID – Pada 31 Ogos 2024 yang lalu, perwakilan Kerasulan Wanita Katolik (KWK) dari seluruh Keuskupan Sandakan telah menghadiri Perhimpunan Agung KWK Keuskupan Sandakan kali ke-12, yang diadakan di Paroki St. Martin, Telupid, sambil menyambut ulang tahun KWK yang ke-16.
Dengan tema “Keluarga Berjalan Bersama dalam Sukacita Kasih”, program ini berjaya menghimpunkan lebih daripada 300 orang peserta dari setiap paroki di Keuskupan Sandakan, termasuk Paroki Katedral St. Mary Sandakan, Paroki St. Dominic Lahad Datu, Paroki Holy Trinity Tawau, Paroki Our Lady of Fatima Beluran, Misi Paitan, serta Paroki St. Martin Telupid selaku tuan rumah.

Rev. Fr. Christopher Ireneus menyampaikan ceramah ‘Keluarga Berjalan Bersama dalam Sukacita Kasih’ kepada perwakilan KWK yang hadir.
Program dimulakan dengan Misa Kudus di Gereja St. Martin yang dipimpin oleh Paderi Paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus. Acara kemudian beralih ke Institut Perhutanan Sabah (IPS) Telupid, di mana sesi ceramah dan program lain berlangsung. Dalam ceramahnya, Fr. Christopher menekankan tiga elemen penting, iaitu Amoris Laetitia (Sukacita Kasih), Gereja Sinodal, serta Visi dan Misi Keuskupan Sandakan. Fokus utama program ini adalah untuk mengeratkan hubungan keluarga melalui sukacita kasih dan perjalanan bersama dalam iman.

Suasana Dewan Mini Conference IPS Telupid
Pada sebelah petang, acara makan malam sempena sambutan ulang tahun KWK ke-16 diadakan di Dewan IPS, Telupid. Antara pengisian majlis adalah beberapa sesi ucapan, termasuk daripada Pn. Kharen Simah Matusip (Penyelaras KWK Paroki Telupid), Puan Cecelia Polo D’Souza (Penyelaras KWK Keuskupan Sandakan), serta Rev. Fr. Christopher Ireneus. Ucapan perasmian disampaikan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan, diikuti dengan paluan gong sebanyak tujuh kali dan pemotongan kek kesyukuran.

Penyampaian ucapan oleh Penyelaras KWK Paroki Telupid, Puan Kharen Simah Matusip.

Penyampaian ucapan oleh Ketua Penyelaras KWK Keuskupan Sandakan Puan Cecelia Polo D’souza.

Penyampaian ucapan oleh Rektor Paroki St. Martin Telupid, Rev. Fr. Christopher Ireneus

Penyampaian ucapan dan perasmian Ulang Tahun KWK Keuskupan Sandakan ke-16 oleh Yang Mulia Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom D.D
Selain itu, acara juga dimeriahkan dengan cabutan tiket nama bertuah, penyampaian Anugerah ‘Jasamu Dikenang’ kepada 16 wanita yang telah memberikan sumbangan besar kepada KWK, serta pertandingan “Ibu Sukacita” yang dimenangi oleh Puan Victoria Salati. Perhimpunan yang disambut dengan penuh meriah ini melambangkan semangat kesatuan dan kasih dalam komuniti Katolik. Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan perjalanan KWK selama ini, tetapi juga mencerminkan kekuatan dan dedikasi wanita Katolik dalam menghidupkan kasih dalam keluarga dan masyarakat.

Perasmian Ulang Tahun KWK Keuskupan Sandakan kali ke-16

Sebahagian persembahan yang telah dipersembahkan oleh KWK dari setiap Paroki di Keuskupan Sandakan.