Artikel disediakan oleh: Clly Gulimit
Gambar: SOCCOM Paroki dan Kateketikal
TELUPID – Sambutan Hari Paroki St. Martin pada tahun ini berlangsung dengan penuh kemeriahan, menggabungkan elemen iman, perpaduan, dan rasa syukur. Sambutan kali ini memperingati ulang tahun ke-58 Paroki St. Martin, Telupid dan ulang tahun ke-17 Keuskupan Sandakan. Keistimewaan sambutan pada tahun ini adalah penganjuran Karnival Sukacita Keluarga selama tiga hari, bermula dari 15 hingga 17 November dengan kemuncaknya pada Hari Paroki yang dirayakan pada 17 November 2024.
Persiapan sambutan pada kali diatur dengan begitu rapi, berkesinambungan dengan aktiviti yang dilaksanakan sebelum ini berteraskan dokumen gereja iaitu Amoris Laetitia. Karnival Sukan Keluarga Katolik yang merangkumi beberapa sukan seperti bola tampar, bola sepak lelaki dan wanita, badminton, sepak takraw serta Amoris Laetitia Fun Run berjaya menarik penyertaan keluarga dari seluruh paroki untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan kasih dalam komuniti. Selain itu, sebagai salah satu persiapan rohani sebelum menyambut Hari paroki, Novena dalam bentuk Misa Kudus dilaksanakan dengan intensi yang merujuk kepada Visi dan Misi Diosis. Aktiviti pra-sambutan ini bukan hanya memupuk semangat kebersamaan tetapi juga mengukuhkan persiapan fizikal dan rohani umat paroki St. Martin sebelum menyambut hari besar gereja.
Karnival Sukacita Keluarga menampilkan pelbagai aktiviti menarik dengan penglibatan segenap lapisan umat berjaya menerapkan elemen ekologi, kerohanian, dan kesejahteraan komuniti. Reruai Laudato Si, seperti Projek Harmoni Gajah dan Manusia serta demonstrasi pembuatan lilin daripada minyak masak terpakai, berjaya memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Aktiviti seperti Gema Sukacita Firman dan Kuiz Alkitab pula memperkukuh semangat rohani di kalangan umat. Selain itu, program derma darah dan saringan kesihatan mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti. Tidak ketinggalan, mini fun fair, gerai jualan makanan dan minuman serta pakaian terpakai, dan busking menyemarakkan lagi suasana karnival dengan hiburan sambil memberi peluang kepada umat untuk beramal.
Kemuncak program pada hari paroki dimulakan dengan pemberkatan Taman Mini Laudato Si’ yang disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom disusuli dengan perayaan Misa Kudus dengan kehadiran umat lebih daripada 1500 orang. Dalam homilinya, Bapa Uskup menekankan pentingnya pengharapan kepada Tuhan sebagai sumber kekuatan iman. “Pengharapan itu bukan datang sendiri, tetapi harus kita usahakan bersama,” katanya, sambil menyeru umat untuk terus aktif dalam kehidupan menggereja. Pada hari yang sama, seramai 108 orang telah menerima Sakramen Penguatan.
Selepas Misa Kudus, acara diteruskan dengan sesi ucapan. Saudara Johnekol Tarining, pengerusi penganjur, menzahirkan rasa syukur atas komitmen umat yang memastikan kejayaan sambutan ini. Beliau turut mengajak umat terus bersatu hati bersama-sama membangun gereja. Seterusnya, paderi paroki Rev. Fr. Christopher Ireneus dalam ucapannya menekankan kepentingan kebersamaan dalam gereja. “Perayaan ini membuktikan umat kita mahu berjalan bersama sebagai satu keluarga besar, menghidupi pengharapan, dan terus membangun iman.” Beliau juga menyeru umat untuk menyokong usaha gereja dalam membangunkan fizikal gereja bagi menampung jumlah umat yang semakin bertambah. Kemudian, Bapa Uskup dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Paderi Paroki dan semua yang terlibat atas kejayaan dalam melaksanakan sambutan ini. Beliau menekankan pentingnya berjalan bersama sebagai Gereja Sinodal, saling mendengar, dan bekerjasama untuk melaksanakan setiap perancangan demi kebaikan bersama. Bapa Uskup juga mengingatkan bahawa kemajuan paroki dan diosis bukan tanggungjawab paderi paroki sahaja tetapi juga bergantung kepada komitmen umat.
Selepas Misa Kudus, acara kesyukuran berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian seperti acara pemotongan kek, persembahan pentas oleh wakil penerima Sakramen Penguatan dan setiap zon serta cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal. Penyampaian cenderahati kepada mantan pengerusi Majlis Pastoral Paroki juga turut diadakan sebagai penghargaan kepada mereka atas pelayanan dan sumbangan mereka kepada gereja. Selain itu, turut dilancarkan program pencarian dana pembangunan gereja telah mendapat sambutan dan sokongan yang menggalakkan daripada umat yang hadir masa tersebut.
Sebagai tanda syukur atas kejayaan pelaksanaan Karnival Sukacita Keluarga dan Hari Paroki, sesi Adorasi Sakramen Mahakudus diadakan pada 21 November 2024. Umat berkumpul sekali lagi untuk merenung dan memuji Tuhan dalam suasana hening, diiringi lagu-lagu Taize. Karnival Sukacita Keluarga dan Hari Paroki tidak hanya meriah, tetapi juga mencerminkan iman yang hidup dan komuniti yang saling menyokong dalam kasih Tuhan.