Tawau: Tim Pelayanan Katekatikal Pertemuan Minggu Gembira(PMG) Gereja Holy Trinity Tawau telah mengadakan Hari Taklimat dan Pendaftaran untuk tahun 2025 pada 12hb Januari 2025. Ramai ibu bapa dan penjaga pelajar dari kelas PMG sesi Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) telah menghadiri sesi tersebut selepas merayakan Misa BM di gereja.
Acara dimulakan dengan taklimat daripada paderi paroki, Rev. Fr. David A. Garaman pada pukul 12.30 tengah hari. Melalui taklimat beliau, ibu bapa diingatkan mengenai tanggungjawab mereka sebagai ‘KATEKIS PERTAMA’ kepada anak-anak mereka di mana melalui rahmat sakramen perkahwinan, ibubapa menerima tanggungjawab dan keistimewaan untuk menginjili anak-anak mereka (KGK 2225). Beliau menambah bahawa sesi PMG menjadi satu kesempatan untuk lebih memperkasa dan menyediakan anak-anak mereka dengan ilmu, kepercayaan dan nilai-nilai baik Kristian agar peribadi mereka lebih mengenali Kristus dan lebih bersiap sedia untuk kehidupan yang penuh makna dalam iman dan masyarakat. Beliau juga menyarankan agar anak-anak diajar mengenai cinta kasih dan kesetiaan terhadap gereja. Rev. Fr David turut mengetengahkan kerumitan yang dialami oleh para pembimbing PMG kerana ada beberapa pelajar tahun lalu tidak menghadiri misa kudus sebelum mengikuti kelas PMG. Beliau menegaskan bahawa Misa Kudus amat penting dalam kehidupan seorang katolik. Oleh itu, ibubapa, penjaga dan anak-anak perlu sentiasa setia menghadiri misa. Sebelum mengakhiri sesi taklimat, terlebih dahulu Rev. Fr. David bersyukur dan berterima kasih kepada semua ibubapa dan penjaga atas inisiatif, kepercayaan dan kesetiaan untuk menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti kelas PMG. Penghargaan juga diberikan kepada semua katekis pembimbing atas dedikasi dan pengorbanan yang diberikan dalam menyahut panggilan dalam pelayanan di gereja.
Selepas taklimat, pengacara memperkenalkan semua katekis pembimbing mengikut kelas dan acara diteruskan dengan pendaftaran kanak-kanak untuk sesi pembelajaran PMG 2025. Seramai 436 orang pelajar telah didaftarkan pada hari tersebut iaitu untuk kemasukan baru, 10 orang didaftarkan dalam kelas tadika BI dan seramai 25 orang didaftarkan dalam kelas tahun 1.
Dalam tahun 2025 ini, bagi Kelas Komuni BM, seramai 43 orang telah mendaftarkan diri dan Kelas Komuni BI ada 20 orang. Oleh sebab pelajar untuk kelas Komuni BM sangat ramai, kelas ini akan dibahagikan kepada 2 buah kelas. Begitu juga dengan kelas Penguatan BM yang menerima pendaftaran seramai 42 orang pelajar pada hari tersebut. Bagi kelas Penguatan BI, ada 20 orang telah mendaftarkan diri.
Akhir sekali, takwim 2025 PMG juga telah diedarkan kepada para ibu bapa dan penjaga agar mereka dapat merancang percutian mereka tanpa mengganggu hari pembelajaran PMG. Hari persekolahan PMG pertama akan dimulakan pada 26hb Januari 2025.