TAWAU, 3–5 Oktober 2025 – Pertemuan Caritas Meet bagi Caritas Diosis Sandakan telah berlangsung dengan jayanya di Paroki Holy Trinity, Tawau. Program selama tiga hari ini bukan sekadar menjadi medan mesyuarat, tetapi turut dimanfaatkan sebagai ruang pembentukan rohani dan pemantapan semangat pelayanan dalam kalangan para ahli. Ia juga menjadi peluang mempererat tali persahabatan melalui sesi perkenalan dan aktiviti antara ahli.

Bergambar bersama selepas misa pembukaan pada hari pertama – 3 Oktober 2025
Hari pertama dimulakan dengan sesi suai kenal, khususnya untuk menyambut kehadiran ahli-ahli baharu dari pelbagai paroki. Pertemuan ini juga menjadi istimewa dengan kehadiran dan penyertaan pertama Rev. Fr. Ricki Boy Hasim, yang telah dilantik sebagai Penasihat Rohani Caritas Diosis Sandakan dalam mesyuarat para paderi baru-baru ini.
Pada hari kedua, sesi pembentukan telah diadakan pada sebelah pagi dengan fokus utama kepada pemahaman Visi dan Misi serta Pelan Pastoral. Usaha ini sangat penting bagi memastikan setiap inisiatif dan pelayanan Caritas selari dengan arah tuju dan semangat Diosis, yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-18 pada 15 Oktober 2025.
Ahli-ahli telah diberi penerangan tentang proses penggubalan Visi dan Misi tersebut agar mereka lebih memahami latar belakang dan asas pelan tindakan Diosis. Sesi ini turut menyentuh struktur organisasi Diosis dan Paroki, serta peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menjayakan pelan pastoral secara menyeluruh.
Satu sesi latihan turut dijalankan dengan menumpukan kepada Misi ke-4 Diosis:
Meningkatkan penghidupan dalam nilai-nilai Injil melalui pemahaman yang mendalam terhadap ajaran sosial Gereja.
Melalui misi ini, para peserta dibimbing untuk memilih satu objektif yang sesuai dengan realiti paroki masing-masing, dan seterusnya merangka pelan tindakan yang konkrit dan relevan.
Salah seorang peserta berkongsi pengalamannya:
“Sukar untuk memahami pelan pastoral hanya dengan membacanya. Bengkel seperti ini sangat membantu kerana kami dapat berbincang, bertanya dan memahami dengan lebih mendalam. Tanpa sesi seperti ini, buku pelan pastoral itu hanya akan disimpan di rak.”

Suasana mesyuarat
Sebelah petang diteruskan dengan Mesyuarat Caritas Diosis Sandakan yang membincangkan pelbagai perkara penting termasuk laporan Caritas dari setiap paroki, Polisi Perlindungan Kanak-Kanak, serta beberapa program akan datang seperti Caritas Malaysia Meet dan Caritas Meet – Wilayah Sabah.

Bergambar bersama selepas Misa Hari Minggu Migran di Gereja Holy Trinity, Tawau
Hari ketiga pula ditutup dengan penyertaan dalam Misa Hari Minggu Migran bersama umat Paroki Holy Trinity Tawau, diikuti dengan jamuan tengah hari sebelum semua ahli bertolak pulang ke tempat masing-masing.

Bergambar bersama semasa fellowship
Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin kepada penyegaran semangat para pelayan Caritas di peringkat Diosis dan Paroki, agar terus berakar dalam semangat Injil serta ajaran sosial Gereja. Meskipun pemahaman terhadap pelan pastoral menuntut masa dan usaha yang berterusan, benih kesedaran dan komitmen telah pun mula bertumbuh. Dengan bimbingan Roh Kudus dan semangat pelayanan yang tulus, Caritas Diosis Sandakan diharapkan terus berkembang sebagai tanda kasih Allah yang hidup — membentuk sebuah komuniti yang berpusatkan Kristus dan melayani sesama dengan kasih.