Soccom Our Lady of Fatima

Beluran – Seramai 60 orang umat telah menghadiri satu kursus singkat khusus bagi pewarta, pemazmur dan pelayan altar yang diadakan di Paroki Our Lady of Fatima, Beluran, baru-baru ini. Sesi tersebut diadakan di Gereja St. Paul Ulu Dusun dengan di Gereja pusat Our Lady of Fatima.

Program ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman serta kemahiran umat dalam menjalankan pelayanan liturgi dengan lebih berkesan dan bermakna. Kursus ini telah dikendalikan oleh seminarian Edward Yahan yang membimbing para peserta melalui beberapa sesi pembelajaran dan perkongsian. Dalam sesi tersebut, penekanan khusus diberikan terhadap peranan dan tanggungjawab seorang pewarta serta pemazmur dalam liturgi Gereja. Para peserta diingatkan bahawa pelayanan ini bukan sekadar membaca atau menyanyi, tetapi merupakan satu bentuk pewartaan Sabda Tuhan kepada umat.

Turut hadir ialah Rev. Fr. Stephen Esguerra yang telah menyampaikan perkongsian mengenai kepentingan persiapan awal sebelum bertugas sebagai pewarta atau pemazmur. Beliau menegaskan bahawa pewartaan dan pemazmuran perlu dilakukan dengan cara yang betul, penuh penghayatan, serta disertai sikap hormat dan doa agar mesej yang disampaikan dapat menyentuh hati umat. Para peserta menyambut baik penganjuran program ini dan berharap agar lebih banyak kursus seumpama ini dapat diadakan pada masa akan datang demi mempertingkatkan mutu pelayanan liturgi di paroki.