BELURAN – Tanggal 13 Mei lalu melakar sejarah yang penuh rahmat bagi umat Katolik di Beluran apabila Paroki Our Lady of Fatima (OLOF) merayakan sambutan tiga-dalam-satu yang berlangsung dalam suasana penuh syukur dan sukacita iman. Perayaan tersebut merangkumi Upacara Dedikasi Gereja baharu OLOF, Pesta Santa Perawan Maria dari Fatima, serta ulang tahun kelima pentahbisan imamat Paderi Paroki, Rev. Fr. Stephen Esguerra.

Upacara menandatangani plak perasmian gereja OLOF

Upacara Pemotongan Reben

Perayaan bersejarah itu dimulakan dengan upacara simbolik penyerahan kunci gereja dan penandatanganan plak perasmian. Upacara dedikasi gereja baharu telah dipimpin oleh Uskup Keuskupan Sandakan, Datuk Julius Dusin Gitom, dan turut diserikan dengan kehadiran Nuncio Apostolik (Duta Besar Vatican ke Malaysia), Uskup Agung Wojciech Załuski.

Dalam ucapan alu-aluannya, Rev. Fr. Stephen Esguerra menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan atas anugerah rumah ibadat yang baharu ini sambil memetik Sabda Tuhan daripada Mazmur 127:1, “Jikalau bukan TUHAN yang membangun rumah, sia-sialah usaha orang yang membangunnya.” Beliau turut mengalu-alukan kehadiran seluruh umat Allah yang bersama-sama menyaksikan detik penuh bermakna tersebut.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua umat, komiti-komiti gereja, para penderma serta semua pihak dari dalam dan luar Paroki yang telah memberikan sumbangan, doa, komitmen dan pengorbanan dalam merealisasikan pembinaan gereja baharu ini. Pada masa yang sama, beliau memohon agar umat terus mendoakan pelayanannya sebagai seorang imam serta mengajak seluruh komuniti untuk terus menghidupi devosi kepada Bonda Maria demi pertumbuhan iman, kesatuan komuniti yang berpusatkan Kristus, dan semangat pelayanan kasih terhadap sesama.

Upacara Kudus Penyerahan Mazbah (Altar) adalah salah satu liturgi yang paling indah dan penuh simbolik dalam Gereja Katolik. Upacara ini dikendalikan oleh Uskup.

Pendupaan Mazbah (Altar)Pembakaran Kemenyan di Atas Mazbah

Sementara itu, Bapa Uskup Datuk Julius menyifatkan gereja baharu tersebut sebagai mercu tanda iman dan lambang kehadiran Tuhan di tengah-tengah umat-Nya. Beliau menjelaskan bahawa pembinaan gereja baharu ini amat diperlukan memandangkan bangunan gereja lama sudah usang serta tidak lagi mampu menampung pertambahan bilangan umat.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kepada keluarga penderma tapak tanah gereja, Kerajaan Negeri, Papal Foundation, serta semua penderma dari dalam dan luar Paroki Beluran yang telah bersama-sama menjayakan pembinaan gereja tersebut. Dalam amanatnya, beliau menyeru umat agar terus melangkah sebagai Gereja Sinodal yang hidup dalam semangat persekutuan, penyertaan dan perutusan.

Uskup Julius Dusin Gitom bersama Nuncio Apostolik (Duta Besar Vatican ke Malaysia), Uskup Agung Wojciech Załuski

Nuncio Apostolik, Uskup Agung Wojciech Załuski pula menyampaikan salam dan berkat apostolik daripada Bapa Suci Paus kepada seluruh umat yang hadir. Dalam amanatnya, beliau menekankan panggilan Gereja sebagai “Gereja Misionari” yang sentiasa membina jambatan persaudaraan, membawa harapan, dan membuka hati kepada mereka yang memerlukan. Menurut beliau, tersergamnya bangunan gereja ini menjadi tanda nyata “Gereja yang Hidup” dalam kemajmukan masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila pembinaannya berjaya diteruskan meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang era pandemik.

Gambar bersama Para Paderi dan Religius Sister

Gambar bersama para Ahli Jawatankuasa Pelaksana Penganjur

Perayaan penuh rahmat itu diakhiri dengan upacara pemberkatan Dewan Terbuka Paroki yang baharu, disusuli jamuan persaudaraan dan persembahan kebudayaan yang menggambarkan keindahan perpaduan serta keakraban umat di Beluran.

Upacara Menandatangani Plak Perasmian Dewan Terbuka Gereja Our Lady of Fatima

Penyerahan cendera kenangan kepada Nuncio Apostolik (Duta Besar Vatican ke Malaysia), Uskup Agung Wojciech Załuski

Salah Satu Acara Pentas