SANDAKAN — Pada 31hb Julai sehingga 2hb Ogos 2026 mencatatkan satu lagi detik bersejarah apabila Perhimpunan Kateketikal Sabah (PKS) Ke-3 berlangsung di Wisma Tay Chee Ming (Dewan SMJK Tiong Hua), di bawah naungan Keuskupan Sandakan. Perhimpunan kali ini mengangkat tema “Menjadi Kristus Kepada Satu Sama Lain”, yang diinspirasikan daripada injil Matius 25:40.

Program bermula tepat pada jam 1.30 petang dengan kehadiran seramai 1,048 orang katekis pembimbing dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Sandakan, Keuskupan Keningau, serta jemputan khas daripada Keuskupan Agung Kuala Lumpur.

Majlis dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab, diikuti renungan singkat yang disampaikan oleh Rev. Fr. Ricki Boy Hasim. Dalam renungan itu, beliau mengingatkan para peserta agar bukan sekadar menjadi murid dan pengikut Kristus, tetapi juga menghayati serta memancarkan kasih-Nya dalam kehidupan seharian. Kasih itu hendaklah diterjemahkan melalui sikap saling mengasihi, membawa harapan, dan melayani sesama dengan penuh keikhlasan.

Dalam sesi berikutnya yang dikendalikan oleh tim animasi dari Paroki Holy Trinity, Tawau, dimana para peserta terlebih dahulu mengikuti senaman ringan sebagai aktiviti pemanasan badan. Aktiviti ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk beramah mesra dan berinteraksi dengan sesama peserta dari keuskupan lain. Menjelang akhir sesi, Sr. Rose memimpin semua peserta mempersembahkan lagu aksi rasmi Perhimpunan Kateketikal Sabah (PKS).

Semasa Misa Kudus pembukaan, Uskup Keuskupan Sandakan, Uskup Julius Dusin Gitom, menegaskan bahawa peranan katekis amat penting dalam kehidupan dan perkembangan Gereja. Menurut beliau, tugas mewariskan iman merupakan suatu tanggungjawab yang sangat penting, namun pada masa yang sama penuh dengan cabaran, khususnya dalam dunia moden yang sentiasa berubah.

Beliau menekankan bahawa mesej Injil perlu disampaikan secara relevan tanpa mengabaikan kebenaran iman, agar dapat difahami dan dihayati oleh umat pada zaman ini. Beliau turut mengingatkan bahawa setiap individu yang melayani dalam Gereja perlu membuka hati sepenuhnya kepada kasih Kristus kerana tanpa Kristus, tiada apa yang dapat dikongsikan kepada sesama. Beliau juga menegaskan bahawa tanpa pelayanan para katekis, kehidupan Gereja akan kehilangan salah satu tonggak penting dalam pembentukan iman umat.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar setiap katekis sentiasa membina hubungan yang intim dengan Tuhan, khususnya melalui kesediaan mendengar bimbingan Roh Kudus. Walaupun tempoh perhimpunan ini agak singkat, beliau percaya ia mampu menyuntik semangat baharu dan memperbaharui komitmen para katekis dalam meneruskan pelayanan mereka. Beliau turut menggalakkan semua katekis agar tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus setia dan komited dalam panggilan mereka. Selepas berakhir Misa Kudus, Uskup Julius dijemput secara rasmi untuk merasmikan Perhimpunan Kateketikal Sabah Ke-3.

Sesi terakhir pada hari pertama diteruskan dengan perkongsian kehidupan oleh Encik Jamieus B. Yolong yang berkongsi pengalaman beliau menghadapi keadaan separuh lumpuh serta bagaimana Tuhan terus berkarya dalam setiap perjalanan hidupnya.

Program kemudian diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Rev. Msgr. David Garaman bertajuk “Katekis: Menghidupi Keperibadian Khusus”. Dalam penyampaiannya, beliau menghuraikan tujuh ciri utama Kristus yang harus dihayati oleh setiap katekis sebagai panduan dalam pelayanan, iaitu:

Kristus yang Melayani.
Kristus yang menjadi Teladan.
Kristus yang Berbelas Kasihan.
Kristus yang setia kepada Misi Bapa.
Kristus yang Membentuk orang lain.
Kristus yang Rela Berkorban.
Kristus yang hidup dalam Kesatuan dengan Bapa.

Hari kedua Perhimpunan Kateketikal Sabah (PKS) dimulakan dengan Ibadat Pagi, diikuti beberapa sesi ceramah yang memfokuskan kepada misi, identiti dan peranan katekis dalam kehidupan Gereja.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian oleh Cik Suelen Sungkit dari Paroki St. Edward, Kota Belud, yang berkongsi pengalaman sepanjang 27 tahun pelayanannya sebagai seorang katekis. Beliau menceritakan pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang pelayanan tersebut, termasuk mengimbangi komitmen masa serta menyesuaikan diri dengan perubahan ketika pandemik COVID-19, khususnya dalam melaksanakan pembentukan kateketikal melalui platform dalam talian.

Beliau turut menggalakkan kanak-kanak agar terus komited dan aktif mengikuti kelas Sekolah Minggu, sambil mengingatkan bahawa pembentukan iman sejak usia muda amat penting dalam membina kehidupan sebagai seorang Kristian.

Sesi kedua bertajuk “Katekis: Mengongsikan Khabar Baik” telah disampaikan oleh Rev. Fr. Boniface Kimsin. Dalam perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa evangelisasi ialah pewartaan Khabar Baik Kristus melalui kasih, berkat dan keselamatan. Beliau mengingatkan bahawa setiap katekis dipanggil untuk meneruskan misi Kristus dengan menjadi saksi iman yang hidup melalui tindakan, kerendahan hati dan komitmen rohani.

Beliau turut menekankan bahawa para katekis perlu memperkukuhkan pemahaman terhadap ajaran Gereja, menggunakan pendekatan yang relevan dalam menyampaikan iman, membina hubungan yang bermakna dengan umat, serta memanfaatkan platform komunikasi moden bagi menjangkau lebih ramai orang.

Sesi ketiga bertajuk “Katekis dan Sinodaliti” telah disampaikan oleh Rev. Msgr. Nicholas Stephen. Beliau memberi penekanan kepada kepentingan berjalan bersama sebagai Gereja melalui sikap saling mendengar, membuat penegasan rohani (discernment), dan penglibatan semua pihak. Beliau menggalakkan para katekis mengamalkan pendekatan “Lihat – Nilai – Bertindak” (See–Judge–Act) dengan mengenal pasti situasi dalam komuniti, merenungkannya berdasarkan kehendak Tuhan, dan seterusnya mengambil tindakan yang bermakna.

Beliau juga mengingatkan bahawa seorang katekis perlu mendengar terlebih dahulu sebelum mengajar, serta melibatkan setiap anggota umat dalam misi Gereja dengan memberi peluang kepada semua untuk menyumbang mengikut karisma dan kemampuan masing-masing.

Sesi terakhir menampilkan Encik Joseph Tek yang membentangkan topik “Sejarah Katekesis di Sabah”, manakala Sr. Laura Angie menyampaikan pembentangan bertajuk “Perjalanan Gereja Menuju Jubli 2033”.

Dalam perkongsiannya, Encik Joseph Tek mengupas perkembangan pelayanan katekesis di Sabah yang seiring dengan pertumbuhan Gereja sejak zaman awal penubuhannya. Beliau turut menyorot bagaimana masyarakat tempatan akhirnya tampil memikul tanggungjawab sebagai pemimpin Gereja, sekali gus menjadi titik penting dalam perkembangan Gereja di Sabah.

Sementara itu, Sr. Laura Angie menjelaskan makna Gereja sebagai perhimpunan umat Allah dengan menghuraikan tiga dimensi Gereja, iaitu perhimpunan liturgi, komuniti setempat dan komuniti sejagat. Beliau turut menerangkan makna Tahun Jubli sebagai satu perjalanan pendamaian dengan Allah, sesama manusia dan seluruh ciptaan.

Beliau seterusnya memperkenalkan tiga fokus utama yang ditekankan oleh Pope Leo XIV, iaitu Mengingati (Remember) dengan merenungkan karya penebusan Kristus, Bersatu (Unite) melalui pengukuhan perpaduan dalam kalangan umat Kristian, serta Menjadi Tanda Damai dan Martabat (Becoming a Sign of Peace and Dignity) dengan memberikan kesaksian Injil melalui kerjasama dan pelayanan.

Menjelang berakhirnya hari kedua Perhimpunan Kateketikal Sabah, para peserta diingatkan bahawa pelayanan sebagai katekis bukan sekadar menyampaikan ajaran iman, tetapi juga menuntut mereka untuk menghidupi Injil sebagai saksi Kristus melalui kerendahan hati, kasih dan semangat melayani.

Selepas semua sesi selesai, para katekis masuk kepada kumpulan masing-masing untuk mengadakan Perbualan Rohani tentang sejarah katekesis di Sabah serta langkah-langkah yang boleh diambil dalam pelayanan katekesis dalam perjalanan menuju 2033.

Menjelang malam, para peserta menyertai Adorasi Sakramen Mahakudus yang disertai dengan renungan bertemakan, “Bagaimanakah saya dapat membuat komitmen yang lebih besar terhadap pelayanan saya sebagai seorang katekis pembimbing?” Sebagai tanda komitmen peribadi, setiap katekis diminta menulis respons mereka pada sekeping kertas berwarna yang telah disediakan, sebelum melekatkannya di ruang khas sebagai lambang kesediaan untuk terus bertumbuh dalam pelayanan dan memperbaharui komitmen mereka kepada Kristus serta Gereja.

Seusai Adorasi, para ketekis bersurai dalam keadaan senyap.

Pada 2 Ogos 2026, hari terakhir Perhimpunan Kateketikal Sabah (PKS) yang ketiga telah berlangsung dengan penuh sukacita dan pengalaman iman yang mendalam. Sesi terakhir bertajuk “Pergilah” berdasarkan Matius 28:18–20 telah disampaikan oleh Rev. Msgr. Gilbert D. Lasius.

Beliau memetik kata-kata Paus Fransiskus bahawa setiap orang Kristian adalah seorang misionari sejauh mana mereka telah mengalami kasih Allah dalam Yesus Kristus. Oleh itu, umat beriman tidak lagi melihat diri mereka sekadar sebagai “murid” dan “misionari” yang berasingan, tetapi sebagai murid misionari yang dipanggil untuk membawa kasih Kristus kepada dunia.

Dalam perkongsiannya, Rev. Msgr. Gilbert menghubungkan tema “Menjadi Kristus kepada Sesama” (Matius 25:40) dan “Pergilah” (Matius 28:18–20) dengan pendekatan pelayanan yang berasaskan perpaduan, kasih, komitmen, keprihatinan, semangat kebersamaan, ketaatan, kesetiaan, kerjasama, sukacita, damai, kerendahan hati, keberanian, kesungguhan, ketekunan, dan belas kasihan.

Beliau juga mengingatkan para katekis bahawa pelayanan Gereja merupakan suatu usaha bersama dalam mencerminkan imej dan rupa Allah. Melalui perutusan-Nya, Allah membolehkan umat beriman mengambil bahagian dalam karya pelayanan dan pewartaan Injil.

Rev. Msgr. Gilbert menjelaskan bahawa Amanat Agung Yesus Kristus dapat dilihat dalam Matius 28:18–20, iaitu panggilan untuk pergi dan mewartakan Injil. Beliau turut mengingatkan umat Katolik agar tidak melihat diri mereka sebagai orang yang “bernasib baik”, tetapi menyedari bahawa mereka adalah umat yang diberkati kerana kasih dan penyelenggaraan Allah.

Khusus kepada para katekis, beliau menggesa mereka agar tidak takut, bimbang, atau ragu-ragu dalam mewartakan iman dan kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Beliau menegaskan bahawa sebagai orang yang percaya kepada Kristus, mereka harus memahami bahawa Allah yang mereka sembah ialah Allah yang telah mengorbankan diri-Nya demi penebusan dosa umat manusia. Oleh itu, setiap orang beriman dipanggil untuk tetap teguh mempertahankan iman serta hidup selaras dengan janji keselamatan yang diberikan oleh Kristus.

Selepas sesi tersebut, program diteruskan dengan Misa Penutupan yang dipimpin oleh Rev. Msgr. Gilbert Lasius.

Kamu adalah mukjizat dalam Gereja,” kata Rev. Msgr. Gilbert kepada para katekis yang hadir. Beliau menjelaskan bahawa para katekis merupakan tanda bagaimana Allah terus berkarya dalam kehidupan Gereja. Walaupun mereka mungkin tidak melakukan mukjizat seperti yang dilakukan oleh Yesus, mereka tetap mampu mempersembahkan apa yang mereka miliki melalui semangat pelayanan, kasih, senyuman, kerendahan hati, bakat, kebijaksanaan, kesabaran, ketekunan, dan iman yang teguh.

Beliau mengakhiri homilinya dengan mengingatkan para katekis agar sentiasa berdoa serta mencari kekuatan dalam iman dan pelayanan, selaras dengan semangat lagu yang sering dinyanyikan oleh umat beriman: “Selagi ada kesempatan, biarlah aku menjadi berkat.”

Hari terakhir PKS-3 diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Sr. Rose Gimbun. Beliau berkongsi bahawa pada mulanya beliau berasa ragu-ragu untuk melaksanakan PKS-3, namun sokongan dan keyakinan daripada mereka yang berada di sekelilingnya telah memberikan dorongan untuk beliau meneruskan tanggungjawab tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan PKS-3, termasuk pasukan penganjur utama (MOT), pasukan penganjur tempatan (LOT), pasukan katering, pasukan kebersihan, pasukan kecemasan, pasukan protokol, pasukan doa, pasukan media, para penceramah yang bersetuju untuk mengambil bahagian, serta komuniti berbahasa Cina yang telah membantu merealisasikan pelaksanaan PKS-3 dalam dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.

Majlis penutupan diteruskan dengan penyampaian cenderamata serta pengumuman simbolik tuan rumah bagi Perhimpunan Kateketikal Sabah (PKS) yang keempat, yang akan dihoskan oleh Keuskupan Keningau pada tahun 2029.