Artikel dan Gambar disediakan oleh: Joannes Patrick Wasai

TONGOD – Kapela St. Therese of Lisieux, Lalampas telah diberkati dan dirasmikan dalam satu majlis penuh kesyukuran pada 26 September 2026. Upacara tersebut disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan. Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh sukacita dan kesyukuran itu dimulakan dengan sambutan serta perarakan persembahan adat Adonara, sebelum diteruskan dengan upacara pemberkatan dan perasmian kapela. Acara kemudiannya disusuli dengan Perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Yang Mulia Bapa Uskup.

Persembahan adat Adonara mengiringi perarakan

Dalam homilinya, Bapa Uskup menekankan bahawa sumbangan ikhlas dan kerjasama erat umat Katolik dalam mendirikan rumah ibadat merupakan lambang keteguhan iman serta kesatuan umat. Beliau turut mengaitkan usaha tersebut dengan bacaan Injil yang menggambarkan bahawa setiap usaha yang dilakukan dengan iman, kesungguhan dan hati yang ikhlas mempunyai nilai yang besar dalam kehidupan umat beriman. Menurut Bapa Uskup, pembinaan kapela bukan sekadar menghasilkan sebuah bangunan fizikal, tetapi menjadi tanda nyata perjalanan iman umat. Kapela juga menjadi ruang bagi umat untuk berkumpul, berdoa, merayakan Ekaristi serta terus memperkukuh kehidupan rohani dan persaudaraan dalam komuniti.

Upacara pemberkatan kapela

Perasmian Kapela St. Therese of Lisieux

Sementara itu, En. Tony Pita, Pengerusi KKD St. Therese of Lisieux, Lalampas merangkap Pengerusi Penganjur Majlis Pemberkatan dan Perasmian, dalam ucapannya mengimbas kembali perjalanan iman serta sejarah awal penubuhan kapela tersebut yang bermula kira-kira enam tahun lalu. Menurut beliau, perjalanan tersebut bermula dengan kunjungan Kelompok Kerahiman Ilahi yang dipimpin oleh Saudara Martinus Hera bersama rombongan dari Paroki St. Martin, Telupid. Kunjungan tersebut kemudiannya disusuli dengan kunjungan iman oleh Romo Christo Nagasi dari Indonesia, serta lawatan pastoral oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus bersama rombongan.

Misa Kudus dipimpin oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom

Rangkaian kunjungan dan lawatan tersebut menjadi antara titik awal yang menyemarakkan kehidupan rohani serta mengukuhkan semangat umat Katolik di Lalampas. Perkembangan tersebut akhirnya membawa kepada usaha untuk mewujudkan sebuah kapela bagi komuniti setempat. En. Tony turut merakamkan penghargaan kepada seluruh umat KKD St. Therese of Lisieux, Lalampasatas usaha, komitmen, kerjasama dan sumbangan ikhlas dalam merealisasikan pembinaan kapela tersebut. Menurut beliau, pembinaan kapela itu merupakan hasil kerjasama dan sumbangan umat, selain mendapat kebenaran serta sokongan daripada Pengurusan Ladang Agropolitan Lalampas.

Acara Pemotongan Kek

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Rev. Fr. Christopher Ireneus, Paderi Paroki St. Martin, Telupid; En. Albert Andau Paulus Andau, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP); wakil Pengurusan Ladang Agropolitan Lalampas; ahli-ahli MPP; Pengerusi KUK Zon St. Thomas, En. Maljum Harun; para pemimpin gereja serta umat Katolik dari sekitar Paroki St. Martin, Telupid.

Bergambar bersama komuniti setempat

Pemberkatan dan perasmian kapela baharu ini menjadi satu lagi detik bersejarah bagi umat Katolik di Zon St. Thomas, khususnya komuniti Katolik di Ladang Agropolitan Lalampas. Kehadiran rumah ibadat ini bukan sahaja menyediakan tempat untuk umat berkumpul dan beribadat, malah menjadi ruang untuk terus menyemai iman, memperkukuh perpaduan serta memupuk semangat persaudaraan dan pelayanan.

Peristiwa ini bukan sekadar menandakan siapnya sebuah bangunan kapela, tetapi turut menjadi kesaksian kepada perjalanan iman umat yang dibina melalui doa, kerjasama, pengorbanan dan sumbangan ikhlas selama bertahun-tahun. Semoga Kapela St. Therese of Lisieux terus menjadi tempat yang membawa berkat, pengharapan dan kekuatan rohani kepada seluruh umat di Lalampas dan kawasan sekitarnya, serta menjadi rumah iman yang menyatukan umat dalam doa, persaudaraan dan pelayanan.