Artikel : Jupini Kinti
Gambar : SOCCOM Kateketikal

TELUPID – Pada 13 Jun 2026 yang lalu, seramai 26 orang bayi dan kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan dalam satu upacara yang disempurnakan oleh Paderi Paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus. Program dimulakan dengan sesi pendaftaran pada pukul 8:00 pagi, diikuti taklimat ringkas kepada ibu bapa dan penanggung mengenai perjalanan upacara serta persiapan yang diperlukan sepanjang upacara pembaptisan.

Pengurapan minyak katekumen

Upacara simbolik pemberian kain putih

Sepanjang upacara tersebut, anak-anak menjalani beberapa ritus penting yang melambangkan penerimaan mereka ke dalam kehidupan baharu sebagai anak-anak Allah. Antaranya ialah upacara penandaan salib, pengurapan dengan minyak katekumen, upacara pembaptisan dengan air, pengurapan ubun-ubun menggunakan minyak krisma, pemakaian atau penyerahan kain putih sebagai lambang kesucian, serta penyerahan lilin bernyala kepada ibu bapa oleh penanggung. Lilin yang dinyalakan daripada Lilin Paska itu melambangkan Kristus yang bangkit dan dipanggil untuk terus menyinari kehidupan setiap orang yang dibaptis.

Upacara penyalaan lilin daripada lilin Paskah untuk diserahkan kepada penanggung dan ibu bapa

Dalam homilinya, Rev. Fr. Christopher Ireneus mengingatkan ibu bapa agar sentiasa membiasakan anak-anak hadir ke gereja untuk menyertai Misa Kudus serta pelbagai program yang dianjurkan oleh gereja. Menurut beliau, ibu bapa memainkan peranan utama dalam memupuk dan menyuburkan iman anak-anak sejak usia muda. Beliau turut menggalakkan ibu bapa agar memberi dorongan kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam pelbagai bentuk pelayanan di gereja. Katanya, jika anak-anak tidak didedahkan kepada kehidupan menggereja sejak kecil, mereka berisiko kehilangan asas pembentukan iman, sekali gus mudah menjauhkan diri daripada kehidupan beriman apabila dewasa.

Upacara penandaan salib

Upacara pembaptisan

Sehubungan itu, beliau berharap semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh ibu bapa untuk membaptiskan anak-anak mereka diteruskan melalui teladan hidup yang baik, bimbingan yang berterusan serta penglibatan aktif dalam kehidupan gereja. Ibu bapa, katanya, merupakan pendidik pertama dan utama dalam membentuk pertumbuhan iman anak-anak. Upacara diakhiri dengan sesi bergambar bersama paderi, para penerima Sakramen Pembaptisan, ibu bapa, penanggung serta seluruh ahli keluarga yang hadir bagi merakam detik istimewa tersebut.