Artikel : Raynold Thomas
Gambar : SOCCOM Perayaan
TELUPID – Semangat perpaduan, penghargaan terhadap warisan budaya serta kesyukuran atas rahmat pelayanan menjadi teras sambutan Hari Kebudayaan Paroki Telupid yang diadakan bersempena ulang tahun ketujuh pentahbisan imamat Rev. Fr. Dafrinn Diwol pada 14 Jun lalu. Sambutan yang mengangkat tema “Budaya Dipelihara, Kasih Diperkukuh” itu dikelolakan oleh Zon St. Roderick dengan St. John Fisher, Kg. Mangkadai sebagai tuan rumah.
Sambutan dimulakan dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol pada pukul 9.30 pagi di Kapela St. John Fisher. Selepas perayaan Ekaristi, sesi ucapan diadakan di dalam kapela sebelum seluruh umat berhimpun di Dewan Kg. Mangkadait bagi meneruskan majlis kesyukuran dan sambutan Hari Kebudayaan Paroki Telupid.

Kehadiran Lebih 300 Umat Paroki Santo … id Pada Hari Kebudayaan Dan HUT Imamat
Pengerusi penganjur, Maurice Sintir, berkata sambutan tersebut bukan sekadar menghimpunkan umat dalam suasana penuh kemeriahan, malah menjadi wadah untuk memperkukuhkan persaudaraan, memupuk semangat saling menghormati serta mengeratkan hubungan dalam komuniti paroki. Menurut beliau, kejayaan program itu merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak yang berganding bahu menyumbangkan tenaga, masa, idea dan sokongan bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Rev. Fr. Dafrinn Diwol Bersama Petugas Liturgi
“Sesebuah program tidak mungkin berjaya tanpa semangat kerjasama, perpaduan dan komitmen semua pihak. Justeru, penghargaan yang tidak terhingga dirakamkan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana, para sukarelawan, penderma, penaja serta semua umat yang telah memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk,” katanya.
Selain itu, Hari Kebudayaan turut menjadi platform untuk menghargai kepelbagaian budaya masyarakat setempat sebagai anugerah Tuhan yang perlu terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang. Dalam masa yang sama, beliau mengajak seluruh umat agar terus melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai program dan aktiviti anjuran gereja sebagai usaha membina komuniti yang lebih bersatu, dinamik serta teguh dalam kehidupan beriman.

Rev. Fr. Dafrinn Diwol Menyempurnakan Gimik Perasmian Dengan Mongomot Parai
Sementara itu, Rev. Fr. Dafrinn Diwol menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang meraikan ulang tahun ketujuh pentahbisan imamat bersama seluruh umat Paroki Telupid. Beliau turut mengimbau perjalanan pelayanannya sejak ditahbiskan sebagai imam tujuh tahun lalu. Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menimba pelbagai pengalaman menerusi pelayanan di beberapa paroki sebelum diamanahkan untuk melayani umat di Paroki St. Martin, Telupid. Menurut beliau, setiap paroki yang pernah dilayaninya telah memberikan pengalaman yang berharga dan membentuk dirinya menjadi seorang imam yang lebih matang, selain memperdalam penghayatan terhadap erti sebenar pengabdian kepada Tuhan dan pelayanan kepada umat.

Sesi Penyampaian Cenderahati Kepada Paderi Paroki
Beliau berkata, setiap individu mempunyai cabaran dan kekurangan masing-masing, namun keadaan itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berhenti berusaha atau berputus asa. Sebaliknya, setiap orang perlu berani memperbaiki diri, merebut peluang yang diberikan serta sentiasa memberikan yang terbaik dalam kehidupan dan pelayanan.
“Saya sentiasa bertanya kepada diri sendiri, mengapa bukan saya yang memberikan diri untuk melayani? Persoalan itulah yang menjadi dorongan untuk terus melangkah dalam panggilan ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa segala peluang, pencapaian dan kemudahan yang dinikmati hari ini merupakan rahmat Tuhan yang wajar disyukuri. Sehubungan itu, beliau mengajak umat agar terus mengembangkan bakat, kebolehan dan potensi yang dikurniakan demi kemajuan gereja serta kesejahteraan masyarakat.

Sukaneka Mengupas Pinang Sebagai Pengisian Acara
Sambutan yang dihadiri lebih 300 umat dari seluruh Paroki Telupid itu berlangsung dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan. Selain menjadi wadah untuk menghargai kepelbagaian budaya, program tersebut berjaya mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dalam kalangan umat serta memperkukuhkan semangat kebersamaan. Bertepatan dengan tema “Budaya Dipelihara, Kasih Diperkukuh”, sambutan ini turut menjadi tanda kesyukuran atas tujuh tahun pelayanan imamat Rev. Fr. Dafrinn Diwol yang terus setia membimbing umat untuk bertumbuh dalam iman, harapan dan kasih.
