Artikel : Jupini Kinti
Gambar : SOCCOM Kateketikal

TELUPID – Seramai 111 orang anak Pertemuan Minggu Gembira (PMG) telah menerima Sakramen Komuni Pertama dalam perayaan Misa Kudus Minggu Biasa ke30 yang berlangsung pada 25 Oktober 2026. Upacara penerimaan sakramen tersebut telah disempurnakan oleh Pembantu Paderi Paroki St. Martin, Telupid, Rev. Fr. Dafrinn Diwol.

Sebelum menerima sakramen ini, para calon telah melalui beberapa fasa persediaan rohani bagi memastikan mereka memahami dan menghayati makna penerimaan Tubuh dan Darah Kristus dalam Ekaristi Kudus. Persediaan awal dimulakan dengan sesi Temu Bual Santai pada 3 Oktober 2026, bermula pada pukul 7.00 pagi hingga 5.30 petang. Sesi tersebut diketuai oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol dengan bantuan beberapa orang guru pembimbing PMG.

 

Sesi Temu Bual Santai Bersama Calon Penerima Sakramen Komuni Kudus Pertama

Sesi Perbincangan dalam Kalangan Ibu Bapa

Sesi Perbincangan dalam Kalangan Calon Penerima Sakramen Komuni Kudus Pertama

Seterusnya, pada 10 Oktober 2026 (Sabtu), para calon mengikuti program rekoleksi, raptai dan penerimaan Sakramen Pertobatan sebagai persediaan terakhir sebelum menyambut Komuni Pertama. Hasil daripada bimbingan dan persediaan tersebut, kesemua 111 orang calon akhirnya berpeluang menyambut Tubuh dan Darah Kristus buat pertama kalinya. Peristiwa penuh bermakna ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian dalam perjalanan iman mereka, malah merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan peribadi dengan Tuhan.

Sesi Raptai

Dalam homilinya, Rev. Fr. Dafrinn Diwol mengingatkan seluruh umat, khususnya para penerima Sakramen Komuni Pertama, agar sentiasa mengamalkan kasih dalam kehidupan seharian sebagaimana yang telah diteladankan oleh Tuhan Yesus. Beliau menegaskan bahawa kasih bukan hanya ditujukan kepada Tuhan, tetapi juga perlu dizahirkan melalui sikap dan perbuatan terhadap sesama manusia.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerendahan hati merupakan kunci utama dalam mengamalkan kasih, terutama ketika berhadapan dengan individu yang pernah menyakiti hati kita. Kasih bukan sekadar perasaan suka atau sayang, tetapi merangkumi kesediaan untuk melakukan kebaikan, mengampuni, menerima dan melayani sesama manusia dengan tulus ikhlas.

Penerimaan Sakramen Komuni Kudus Pertama

Sesi Bergambar Bersama Fr. Dafrinn Diwol, Semua Penerima Sakramen Komuni Kudus Pertama dan AJK Kateketikal

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar para penerima Sakramen Komuni Pertama sentiasa memelihara hubungan dengan Tuhan serta menghayati kasih Kristus dalam kehidupan seharian. Penghayatan tersebut hendaklah diterjemahkan melalui perbuatan dan pelayanan, sama ada dalam keluarga, komuniti gereja mahupun dalam hubungan dengan masyarakat sekeliling.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama Rev. Fr. Dafrinn Diwol dan kesemua penerima Sakramen Komuni Pertama. Semoga penerimaan sakramen ini menjadi permulaan kepada perjalanan iman yang semakin matang serta mendorong setiap penerima untuk terus hidup dalam kasih, setia kepada Kristus dan menjadi pembawa damai kepada semua orang.