Sandakan – “Kamu akan menerima kuasa kalau Roh Kudus turun atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku” (Kisah 1:8) – tema Sabah Youth Day yang ke-2 (SYD2). Program lanjutan SYD2 ini telah diadakan di Katedral St. Mary, Sandakan pada 4 April 2009 yang lalu bersempena dengan Perayaaan Hari Belia Sedunia yang ke-24.
Program belia ini telah menyatukan seramai 120 orang para belia dan ibu bapa untuk bersama-sama merenungi penderitaan Tuhan Yesus melalui lakonan Jalan Salib yang dikendalikan sepenuhnya oleh para Belia Katedral St. Mary, Sandakan. Kisah sengsara Yesus ini telah membawa para belia sendiri untuk merenungi salib-salib kecil dalam perjalanan hidup dan merasakan kasih serta pengorbanan Yesus dengan mengatakan ‘Amen’ kepada Rencana Allah – iaitu mati di kayu salib demi penyelamatan umat-umatnya. Komiti Penganjur juga berharap dengan melihat penglibatan anak-anak mereka dalam program ini, para ibu bapa khususnya perlahan-lahan dapat membuka hati mereka untuk hidup berkomuniti dan berjalan bersama dengan anak-anak mereka (para belia) dalam apa jua pelayanan di gereja. “Family that prays together stays together”.
Komiti Penganjur telah membuat banyak persiapan termasuklah raptai penuh dan persiapan rohani Doa Novena kepada Roh Kudus. Ada di antara ahli Komiti Penganjur yang menyertai persiapan rohani ini buat kali pertama. Mereka berpendapat doa bersama sebagai satu komuniti amat baik dan dapat merapatkan lagi persahabatan antara sesama dan ‘sense of belonging’ itu dapat dialami bersama.
Rektor Paroki, Fr. Thomas Makajil turut turun padang bersama-sama dengan para belia pada hari tersebut. Dengan kehadiran beliau ke acara ini, Komiti Penganjur bertambah bersemangat, merasa disokong dan berusaha untuk membuat yang terbaik bagi menjayakan program seumpama ini. Semasa penggulungan beliau di akhir acara, beliau berkata setiap belia dianugerahi dengan bakat-bakat yang istimewa dan keistimewaan itu amat diperlukan dalam pelayanan belia. Belia Paroki Sandakan kini mempunyai ‘versi tempatan’ Jalan Salib dan ianya amat baik diadakan sebagai ‘pembuka tirai’ Minggu Suci.
Akhir sekali, setiap yang terlibat dalam program ini mendoakan agar para belia terus mendekati Yesus terutama sekali ketika mengalami cubaan hidup yang berat dan keputus-asaan menjadi penghalang utama untuk bertumbuh dalam iman, kasih dan harapan. Era globalisasi banyak mencabar iman belia masa kini. Oleh itu, sebagai ejen pelayan, setiap tugasan dipikul bersama agar dapat menjadi saksi-saksi Yesus di dalam keluarga, masyarakat, tempat kerja, sekolah dan di mana jua. Puji dan termulialah Tuhan selama-lamanya, Amen!
oleh : Airene Gumanas