Satu Seminar Kepimpinan untuk Kerasulan Wanita Katolik (KWK) peringkat Diosis telah diadakan pada 11 – 12 Jun 2010 bertempat di Bilik Persidangan keuskupan Sandakan. Objektif seminar ini adalah membantu para ahli KWK untuk lebih efektif di dalam pelayanan mereka. Seminar Kepimpinan yang pertama kali diadakan ini telah disertai oleh seramai 56 orang. Ahli KWK Keuskupan Sandakan yang hadir adalah 10 orang manakala dari peringkat paroki masing-masing ialah 23 dari Paroki St. Mary, Sandakan, 4 dari Paroki St. Dominic, Lahad Datu, 8 termasuk Sr. Liza Augustine, fsic dari Paroki Holy Trinity, Tawau dan dari Paroki St. Martin pula adalah seramai 11 orang.
Taklimat oleh Annie Rokneh, Ketua Penyelaras KWK Keuskupan Sandakan.
Duduk dari kiri, Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dan Francis Tan.
Berdiri di kanan, Cecelia Polo, Setiausaha KWK Keuskupan Sandakan.
Sesi suai kenal dan beramah mesra
Pendaftaran bermula jam 2.00 petang. Kemudian disusuli dengan taklimat dan suaikenal seterusnya Upacara Misa Kudus Pembukaan telah dirayakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom bersama Dikon David Aloysius Garaman pada jam 5.00 petang.
Seminar yang bertemakan “Melayani Sesama Dengan Kasih Allah“ telah menjemput Bapa Uskup Julius, Rev. Fr. Thomas Makajil, Sr. Maria Dipal dari Kongregasi Good Shepherd, Sr. Appolonia Gumpu, fsic, dan Sdr. Francis Tan sebagai penceramah.
Sesi Sr Maria Dipal, RGS
Sr. Maria dalam ceramahnya memperkenalkan pelayanan Good Shepherd Sister di Sabah, di Semenanjung dan juga di luar negara. Sedikit sebanyak pelayanan mereka telah menyentuh hati dan memberi kesedaran kepada KWK betapa ‘Satu peribadi jauh lebih berharga dari seluruh dunia’, satu ungkapan dari Santa Maria Euphrasia, pengasas Good Shepherd Sister. Sr. Maria juga mengatakan bahawa kita haruslah berusaha untuk menjadi gembala baik.
Sesi ceramah Fr. Thomas bertajuk ‘Gereja dan Halatuju’. Beliau menerangkan peranan setiap badan dalam gereja adalah sangat bermakna bagi meningkatkan halatuju gereja masa kini. Ini semua hanya dapat dicapai jika semua peribadi menanamkan semangat cinta kasih Yesus dalam diri masing-masing. Mendapatkan kekuatan dari Kristus, Roh Kudus, Sabda Tuhan dan berdoa adalah jalan untuk menjadi Kristian sejati di mana kita harus mempromosikan Kristus dalam segala perkataan, tingkahlaku kita. Sebagaimana misi Kristus yang datang dari Bapa untuk menyelamatkan umat manusia, kita juga harus menyempurnakan misi kita untuk menjadi Kristian sejati.
Sr Appollonia Gumpu, fsic
Sr. Appolonia dalam ceramahnya ‘Kepimpinan dan Saya’ pula menyedarkan para ahli KWK untuk mengenali terlebih dahulu diri sendiri, segala kelemahan dan kelebihan/kebaikan yang ada dalam diri masing-masing. Dengan kesedaran ini, kita akan lebih peka dan mengerti keperluan orang lain dan seterusnya dapat melakukan pelayanan kita dengan lebih berkesan lagi.
Sesi Bapa Uskup Julius bertajuk “Melayani Sesama Dengan Kasih Allah” sama dengan tema bagi seminar tersebut. Beliau melahirkan rasa gembira kerana KWK mengambil moto Keuskupan beliau sebagai tema seminar kepimpinan KWK kali ini. Ini menandakan bahawa KWK benar-benar ingin mendalami moto tersebut serta mempraktikkannya dalam pelayanan mereka. Apatah lagi, moto itu jugalah merupakan moto rasmi KWK Keuskupan Sandakan.
Bapa Uskup menjelaskan bahawa pelayanan haruslah berasaskan pada kasih Allah. Beliau turut mengingatkan KWK telah mengambil Bonda Maria sebagai model pelayanan KWK, yang mana Bonda Maria adalah juga murid Yesus yang pertama. Teladan pelayanan yang diberikan Yesus adalah suatu hal yang harus dicontohi oleh semua pemimpin gereja. Yesus banyak memberi pengajaran dalam hal pelayanan seperti dalam Yoh. 13: 8, 13-16. Tujuan pelayanan dan ganjarannya dalam Yoh.13:20 dan Yoh.13:17. Bapa Uskup juga menyentuh beberapa garis panduan KWK yang memerlukan banyak komitmen dalam kepimpinan gereja dan juga keluarga dan semua itu haruslah ada keseimbangan dan dijalankan dengan bijaksana yang mana memerlukan kebijaksanaan dalam kepimpinan. Kepimpinan harus bermula dari dalam keluarga. Dan peranan wanita dalam keluarga bukan sahaja sebagai ibu, isteri tetapi juga sebagai pembawa iman dalam keluarga.
Francis Tan dalam ceramah ‘Kepimpinan dan Pengurusan’ banyak memberi garis panduan bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang efektif dan produktif. Visi kita sebagai seorang Katolik haruslah seperti Yesus yang melayani, memberi teladan kepada pengikut-pengikutnya melalui perbuatan yang penuh cintakasih seperti dalam Yoh. 13., Mat. 20:26-28 dan Mk. 9:35. Menjadi pemimpin / gembala baik dalam Yoh.10, di mana kita harus melibatkan secara peribadi dalam kehidupan memelihara dan memperhatikan keperluan sesama dengan memberikan jagaan, cintakasih dan tempat yang selamat iaitu semua orang boleh bertumbuh dalam iman. Beliau seterusnya menerangkan serba sedikit bagaimana menjalankan suatu Mesyuarat Katolik yang Efektif. Berbagai tips dan panduan yang telah dikongsikan beliau banyak memberi manafaat seminar kepimpinan ini.
Akhirnya, secara keseluruhan Seminar Kepimpinan ini telah memberi banyak pengajaran dan kesedaran kepada para KWK yang pastinya akan dikongsikan seterusnya kepada semua ahli KWK di peringkat paroki masing-masing.
Oleh Brenda De Guzman