Shalom dan salam damai kepada saudara dan saudari yang seiman dalam Yesus Kristus. Saya Adrian Maxwell dari IKD (Inisiasi Kristian Dewasa) Katedral St Mary, Sandakan. Ramai orang mengatakan bahawa Katolik merupakan agama yang terbesar di antara semua agama Kristian.
Untuk menjadi seorang Kristian bukanlah mudah seperti yang disangkakan! Saya telah mempelajari tentang agama ini selama 8 tahun. Sepatutnya 7 tahun. Oleh kerana putus asa, pada tahun ketiga, saya tidak menghadiri setiap perjumpaan mingguan apatah lagi untuk menghadiri Misa Kudus. Saya mula belajar mengenai Yesus pada tahun 2003 di Gereja Good Shepherd, Menggatal, KK (GSM). Secara senyap-senyap, saya mengikuti saudara saya ke kelas PMG (Pertemuan Minggu Gembira) tanpa sebarang pendaftaran.
Pada tahun 2004, saya dengan rasminya telah mendaftar sebagai pelajar PMG. Tujuan saya mendaftar masuk ke kelas PMG ini adalah untuk mengetahui lebih lanjut tentang agama rasmi keluarga saya walaupun saya belum dibaptis pada ketika itu. Percayakah anda bahawa setiap tahun ditemuramah oleh Paderi di GSM, ‘tawaran’ baptis saya ditolak atas sebab-sebab tertentu.
Pada tahun 2009, saya berasa terkejut apabila nama saya tersenarai dalam calon-calon baptis yang akan dibaptis pada Sabtu Suci tahun 2010. Malangnya, ayah saya telah menerima tawaran bekerja di Sandakan. Maka, kami sekeluarga pun mengikuti beliau. Puas saya mencari Gereja Katolik di seluruh Bandar Sandakan dan akhirnya telah terjumpa Katedral St Mary, Sandakan. Orang pertama yang saya jumpa ialah Sister Liliana Gubod, fsic. Apabila upacara pendaftaran nama sedang dijalankan, saya tidak dapat menghadiri misa tersebut kerana masa itu saya berada di Negeri Sarawak untuk merayakan perayaan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga. Jadi, terpaksalah saya menundakan lagi baptis saya ke tahun 2011.
Dengan tiga kali lafaz Bapa, Putera dan Roh Kudus oleh Rev. Fr. Erik Jerome, saya telah dibaptis pada 24hb April 2011, sekitar jam 10 pagi. Saya bersyukur kerana dosa-dosa saya telah diampuni dan saya telah menjadi makhluk baru dalam nama Kristus. Saya berjanji dengan diri saya bahawa saya akan berkongsi apa yang saya pelajari selama 8 tahun ini kepada mereka yang belum mengenal Yesus Kristus. Yesus disalibkan kerana dosa-dosa kita! Kita boleh mencari kebenaran melalui Yesus Kristus, Putera yang tunggal, Tuhan kita. Bagi saudara-saudari yang ingin mengikuti Yesus, saya mempunyai satu petikan yang sangat sesuai untuk anda.
Yesus bersabda: “Setiap orang yang ingin mengikuti Aku, ia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya dan mengikuti Aku.” ~ Markus 8:34~ Diharapkan petikan ini dapat membantu serba sedikit untuk saudara-saudari sekalian. Itu sahaja untuk kali ini. Semoga saudara-saudari dapat mengikuti Yesus sama seperti saya dan yang lain. Semoga kita diberkati Tuhan. Amen.