Artikel : Delsie Ivy Didacius
Gambar : SOCCOM

TELUPID – Suasana di Dewan Terbuka Bishop Datuk Simon Fung dipenuhi semangat persaudaraan apabila para pelayan liturgi bersama umat Paroki Santo Martin, Telupid menyertai Program Pembentukan Pelayan Liturgi pada 4 Julai 2026. Berpandukan tema daripada Mazmur, “Beribadahlah kepada TUHAN dengan sukacita,” program ini bertujuan memperbaharui komitmen pelayanan serta memperkukuhkan kefahaman tentang liturgi sebagai ibadat rasmi Gereja.

Para peserta Pembentukan Pelayan Liturgi

Sesi pertama yang disampaikan oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol mengupas Kerohanian Pelayanan Liturgi, dengan penekanan bahawa pelayanan liturgi harus berasaskan hubungan yang akrab dengan Kristus. Beliau turut mengingatkan bahawa keluarga merupakan “gereja domestik” yang memainkan peranan utama dalam mewariskan iman kepada anak-anak. Sesi rekoleksi yang diadakan memberi ruang kepada peserta untuk merenung kembali perjalanan iman dan pelayanan mereka.

Perkongsian daripada belia

Sesi kedua oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus membincangkan Pembentukan Koir Liturgi berdasarkan tradisi dan ajaran Gereja Katolik. Beliau menegaskan bahawa muzik liturgi ialah sebahagian daripada liturgi suci yang bertujuan memuliakan Allah serta membantu umat menghayati misteri Ekaristi. Koir bukanlah kumpulan persembahan, sebaliknya dipanggil untuk memimpin dan menyokong penyertaan aktif seluruh umat. Penjelasan turut diberikan mengenai pemilihan lagu yang sesuai dengan musim dan tema liturgi serta perbezaan antara lagu liturgi dan lagu rohani.

Program turut diserikan dengan perkongsian pengalaman daripada belia yang aktif dalam pelayanan gereja sebelum diteruskan dengan sesi Pemahaman Asas Liturgi Gereja dan latihan praktikal. Dalam sesi ini, Rev. Fr. Dafrinn Diwol menekankan kepentingan mematuhi ketetapan liturgi. Latihan praktikal pula memberi penekanan kepada cara mempersembahkan Mazmur Tanggapan dengan penuh penghayatan sebagai sebahagian daripada Liturgi Sabda.

Program diakhiri dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr. Dafrinn Diwol

Kemuncak program ialah Perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol. Dalam homilinya, beliau mengajak seluruh pelayan liturgi agar memiliki hati yang terbuka terhadap pembaharuan liturgi yang diperkenalkan oleh Gereja.

Program ini bukan sahaja memperkukuhkan pengetahuan para peserta tentang liturgi, malah memperbaharui semangat mereka untuk terus melayani dengan rendah hati, terbuka untuk belajar, bersedia memperbaiki kelemahan, dan mempersembahkan segala bakat yang dikurniakan Tuhan demi kemuliaan-Nya.