Ucapan Penyerahan dan Penerimaan
SANDAKAN – Kira-kira 500 umat termasuk 89 peserta yang berdaftar telah membanjiri Gereja St. Mark dan menyaksikan upacara penyerahan dan penerimaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria dari Gereja St. Joseph, sempena menyambut Perayaan Sabah Youth Day-3 (SYD-3) pada Ahad, 31 Julai 2011. Salib Belia dan Ikon Bonda Maria tersebut berada di Gereja St. Mark dari 31 Julai 2011 sehingga 2 Ogos 2011.
Umat Yang Hadir
Ternyata umat begitu gembira dan berasa bangga akan kehadiran Salib Belia dan Ikon Bonda Maria yang penuh bersejarah itu dengan melihat setiap raut wajah mereka yang hadir dan kini sudah tiba saatnya pula untuk umat di gereja tersebut berkongsi dan merasa segala pahit manis pengalamanNya. Mereka menanti ketibaanNya seawal jam 8.15 pagi di perkarangan depan gereja dengan ada yang siap memakai pakaian tradisi suku kaum masing-masing untuk menunjukkan rasa hormat-setia serta identiti mereka terhadap Salib Belia dan Ikon Bonda Maria.
Lektor dan Pemazmur
Selepas ucapan penerimaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria dibaca bersama-sama oleh umat St. Mark, upacara tersebut diserikan lagi dengan paluan gong yang padu oleh gabungan belia Mark-Peter. Selain itu, dapat melihat persembahan tarian sumazau dan juga nyanyian dengan membuat aksi lagu bertajuk ‘FirmanMu Pelita Bagi Kakiku’ oleh kanak-kanak yang mengikuti kelas minggu di Gereja St. Mark. Kemudian perarakan masuk ke gereja untuk mengikuti Misa Kudus yang disempurnakan oleh Rev. Fr. Thomas Makajil selaku Rektor Paroki Katedral St. Mary, Sandakan.
Misa Kudus yang disempurnakan oleh Rev. Fr. Thomas Makajil
“Jika kita terlihat orang yang sedang memegang atau membawa Salib dan Ikon Bonda Maria di mana-mana sahaja, mungkin orang itu adalah beragama Kristian Katolik” kata Fr. Thomas semasa homilinya. “Maka identiti itu adalah sangat penting agar mudah dikenali”, tegasnya kepada umat. Demi menjaga identiti, umat harus lebih mendalami iman mereka. Sesuai dengan tema SYD-3 pada kali ini iaitu “Berakar dan dibangun dalam Yesus Kristus, teguh dalam iman”. Iman yang teguh adalah hasil hubungan atau komunikasi bersama Tuhan dan FirmanNya dijadikan sebagai panduan. Sekiranya iman yang dimiliki itu teguh pada dasarnya maka identiti itu tidak akan hilang atau pupus. Begitu juga berkenaan dengan tradisi gereja yang disesuaikan dengan Pedoman Umum Misal Romawi (PUMR) hendaklah diikuti agar ada keseragaman di semua tempat. Belia dicabar untuk melawan arus negatif globalisasi dan dalam masa yang sama menjaga identiti mereka sebagai seorang Kristian Katolik dengan menunjukkan sifat-sifat terpuji dan menjadi saksi Kristus.
Ucapan Penghargaan
Terdapat banyak aktiviti yang disediakan selepas Misa tersebut sehinggalah hari penyerahan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria pada 2 Ogos 2011 ke Gereja St. Paul, Ulu Dusun. Antaranya adalah Fun Part yang membuatkan semua peserta dapat bergaul mesra dan ketawa dalam permainan Ping Pong bersama Claire Andrew, makan bersama, menyanyikan lagu puji-pujian yang dipimpin oleh Roney Roger Sining, Sesi perkongsian iman dan pengalaman bersama Salib Belia dan Ikon Bonda Maria, katekisis yang bertajuk Believing in Jesus without having seen Him yang disampaikan oleh Sr. Lilian Unsoh, fsic dan aktiviti hari tersebut tamat pada jam 3.00 petang selepas sesi penghormatan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria.
Sesi Katekisis dan Lagu Pujian
Pada hari ke-2 pula, umat berpeluang untuk membuat penghormatan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria mengikut kumpulan yang sedia ada di gereja tersebut dari pukul 7.00 pagi sehingga pukul 8.00 malam termasuklah Kerasulan Belia, Pelayan Altar, Kerasulan Wanita, Secular Fransican Order (SFO), Komiti Keluarga Besar Kristian Indonesia (KBKI), Komiti Keluarga Kristian Dasar (KKD) yang terdiri dari KKD Batu 10, KKD Batu 14 dan KKD Merak. Selain itu, kumpulan dari Taman Rimba Youth Choir (TRYC) dan Chinese Group. Pada sebelah malam pula, umat berpeluang mengikuti sesi Para-Liturgi yang dikendali oleh Sr. Lilian Unsoh, fsic.
Sesi Para Liturgi dan Lagu Pujian
Para Liturgi Sesi Perdamaian dan Affirmation
Umat Gereja St. Mark merasa sangat bertuah kerana dapat mengadakan sesi Para-Liturgi selepas membuat sedikit perubahan ke atas jadual yang telah diumumkan kepada umat sebelumnya. Namun perubahan tersebut sangat mengalakkan dari umat. Sesi perdamaian dan affirmation turut dimuatkan di dalam sesi Para-Liturgi tersebut. Pengalaman sesi tersebut membuatkan umat merasa hubungan kekeluargaan, persahabatan dan juga bersama Tuhan bertambah lebih erat lagi.
Gambar Bersama
Pada hari terakhir Salib Belia dan Ikon Bonda Maria itu berada di Gereja St. Mark, umat diberi peluang untuk membuat penghormatan secara individu dari jam 7.00 pagi sehingga jam 2.00 petang. Kemudian disusuli dengan sesi lagu puji-pujian dan perkongsian oleh beberapa orang belia. Selepas perkongsian tersebut semua umat membuat sesi penghormatan untuk kali terakhir di gereja tersebut sebelum dihantar ke St. Paul, Ulu Dusun tepat jam 4.30 petang. Belia Mark-Peter sangat berbesar hati dan sangat gembira semasa menghantar Salib Belia dan Ikon Bonda Maria itu. Perjalanan yang disertai seramai 40 orang ke Gereja St. Paul, Ulu Dusun mengambil masa lebih kurang 45 minit. Semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi, perasaan belia bercampur baur. Namun yang pasti, Salib Belia dan Ikon Bonda Maria harus dikongsikan kepada umat di Gereja St. Paul agar mereka juga mengalami iman, harapan dan kasih Yesus yang begitu indah sekali dalam kehidupan mereka seperti apa yang telah dirasai oleh belia Mark-Peter. Setelah selamat mengucapkan ucapan penyerahan kepada umat di Gereja St. Paul maka berakhirlah program perayaan SYD-3 peringkat Gereja St. Mark. Semua belia bersyukur atas kehadiran Salib dan Ikon Bonda Maria ke Gereja St. Mark kerena mengalami pengalaman luarbiasa bersama Yesus dan semua belia tidak sabar menanti hari SYD-3 yang sebenar akan diadakan di Diosis Keningau iaitu di Tambunan pada tahun 2012.
SOCCOM St Mark