Sandakan : Sempena Hari Kemerdekaan pada tahun ini, umat Katolik di Katedral St. Mary tidak ketinggalan di dalam sambutan perayaan ini. Misa Kudus diadakan setiap tahun bersama-sama dengan seluruh umat Kristian di seluruh Malaysia. Setiap tahun Malaysia akan merayakan hari kemerdekaannya pada setiap 31 Ogos, dan tahun ini adalah tahun ke 54 (Sabah dan Sarawak ke 48 tahun) sambutan kemerdekaannya.
Bacaan Pertama
Bacaan Kedua
Bacaan INJIL
Lebih 300 umat Katolik di paroki ini menyambut hari kemerdekaan melalui Perayaan Korban Misa Kudus Kesyukuran di Katedral ini pada jam 8.30 pagi yang diselebrankan oleh paderi Paroki Rev. Fr. Thomas Makajil. Bacaan disampaikan dalam tri bahasa. Bacaan  pertama dari Kitab Perjanjian Lama dibuat dalam bahasa Mandarin, Bacaan kedua adalah surat dari Kitab Perjanjian Baru di dalam bahasa Inggeris manakala Bacaan INJIL dalam bahasa Melayu. 


Dalam homilinya, Fr. Thomas memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan yang Maha Esa kerana negara kita menikmati kebebasan (Freedom), kesama-rataan (Equality) dan keadilan (Justice). “Elemen ini penting di dalam sesebuah negara untuk menjamin kestabilan sesebuah negara dan kita bersyukur kerana keamanan ini berlaku di Malaysia” tambahnya. Seterusnya Fr. Thomas memimpin doa bersama-sama umat di Paroki ini agar, Perdana Menteri sentiasa diberi kebijaksanaan di dalam melaksanakan tugasnya memimpin Malaysia dengan aman damai dan sejahtera.

Misa kudus perayaan sempena Hari Kebangsaan ini diakhiri dengan para umat menyanyikan lagu “Negara Ku” dan “Sabah Tanahair Ku” dengan begitu semangat sambil menyaksikan Jalur Gemilang dan bendera Sabah dinaikkan. Sebagai umat patriotik, sorakan “Merdeka” 3 kali dilaungkan dengan penuh bertenaga di Katedral ini. Selamat Maju Jaya untuk Malaysia.

DaliusLL
Soccom Paroki