Sandakan.17/03/2012 – (Dewan Paroki Katedral St. Mary) Sekumpulan umat Katolik telah meluangkan masa bagi menyertai program Perhimpunan Mini Perwakilan Paroki bagi kategori terbuka yang telah diselaraskan oleh Saudara Pilis Malim. Lebih kurang 20 umat menyertai perhimpuan tersebut.
Perhimpunan ini bertujuan menjangkau para umat khasnya yang masih belum berada dalam mana-mana kumpulan di Katedral St. Mary, Sandakan, yang tidak berkesempatan hadir di beberapa perhimpunan mini mengikut kategori kumpulan pelayanan yang telah berjalan baru-baru ini serta mereka yang masih mempunyai cadangan, pendapat dan komen yang belum diutarakan.
Program bermula 7.30 pagi dengan Doa pembukaan dan ‘Ice Breaking’ iaitu acara berkenalan sesama peserta bagi mempermudahkan proses program dijalankan. Selepas aktiviti pertama tersebut, aktiviti yang kedua adalah mengenal atau mengetahui ‘APA ITU GEREJA?’. Dalam aktiviti tersebut, para perserta dibahagikan kepada dua kumpulan yang bertujuan untuk berkongsi tentang pengertian individu terhadap maksud Gereja dan seterusnya dirumuskan ke dalam sekeping kertas untuk paparan serta dibentangkan kepada perserta lain.
Aktiviti seterusnya, para perserta diminta untuk mengenalpasti serta mencari ‘KELEMAHAN ATAU KEKURANGAN GEREJA DI PAROKI MASA KINI?’ secara langsung ataupun tidak langsung mengikut kefahaman masing-masing.
Selepas rehat, para peserta telah sekali lagi dibahagikan kepada dua kumpulan dan seterusnya, melalui hasil daripada aktiviti sebelah pagi tadi, para perserta diminta memberikan cadangan mengenai ‘BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENGATASI ATAU MEMPERBAIKI SEGALA PERMASALAHAN?’ khususnya di peringkat Katedral St. Mary sendiri.
Secara kesimpulannya, program Perhimpunan Mini Perwakilan Paroki ini dapat menilai sejauh manakah tahap kesedaran umat-umat terhadap situasi GEREJA pada masa kini. Ini juga mampu menjurus kepada penilaian tentang sejauh manakah keprihatinan umat setempat terhadap Gereja tempatan. Segala pendapat dan komen yang mempunyai intipati keperluan atau kehendak positif diperkongsikan sesama peserta, seterusnya akan cuba diaplikasi di dalam gereja bagi membantu memperbaiki serta mengatasi permasalahan yang sedang dihadapi pada masa kini. Hasil perhimpunan Paroki Katedral St Mary, Sandakan akan pula dikumpulkan bersama hasil dari 3 paroki lain iaitu, St. Martin, Telupid, St Dominic, Lahad Datu dan Holy Trinity, Tawau demi mencapai pembentukan Visi dan Misi Keuskupan Sandakan yang dijangka siap dalam tahun 2013.
Seluruh umat di Keuskupan Sandakan diseru untuk berjalan bersama dalam usaha pembentukan visi dan misi tersebut dengan sokongan padu dari segi doa serta kerjasama yang tidak berbelah bagi.
Milton Moses
SOCCOM Paroki