Brenda D Guzman
22 Mac 2012 (Hari pertama)
Lahad Datu : Kehadiran 81 peserta retret pra-paska dan perhimpunan kali ke-3 Kerasulan Wanita Katolik Keuskupan Sandakan telah memecahkan kesunyian Borneo Paradise Eco Farm, Lahad Datu sebagai lokasi retret dan perhimpunan.
Peserta terdiri dari 31 ahli dari St. Dominic, Lahad Datu, 18 dari Holy Trinity, Tawau, 17 dari St. Mary, Sandakan dan 15 dari St. Martin, Telupid. Sr. Appollonia Gumpu fsic dan empat sister dari Kongregasi Franciscan Sisters of Immaculate Conception (FSIC) turut membantu di sepanjang retret dan perhimpunan itu berlangsung, Ketenangan dan kedamaian alam semulajadi menemani para peserta sepanjang perjalanan retret yang berlangsung selama tiga hari itu.
Program bermula pada jam 2:00 petang dengan pendaftaran dan seterusnya disusuli dengan sesi suaikenal serta taklimat yang disampaikan oleh Evelyn Watson selaku Penolong Penyelaras Kerasulan Wanita Katolik Keuskupan Sandakan juga Pengerusi Penganjur retret dan perhimpunan bagi tahun ini.
Misa Kudus Pembukaan yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Simon Kontou selaku Retreat Master pada tahun ini telah diadakan pada jam 6.00 petang. Sesi pertama yang disampaikan oleh Rev. Fr. Simon diambil dari Pesan Bapa Suci Sempena Pra-Paska 2012, yang bertemakan “Dan marilah kita saling memperhatikan supaya kita saling mendorong dalam kasih dan dalam pekerjaan baik” (Ibr 10:24)”.
Rev. Fr. Simon Kontou |
Katanya, retret adalah masa untuk kita merasakan dan mengalami cinta kasih Allah. Namun kita sering lupa sehinggakan terjadinya penolakan terhadap Tuhan. Seandainya kita membenarkan Tuhan untuk mengasihi kita, maka ini adalah tanda penyerahan diri kita kepada-Nya. Pelayanan sebagai Kerasulan Wanita Katolik seharusnya berdasarkan dengan Kasih Allah. Fr Simon juga telah menekankan tentang tiga aspek kristiani iaitu:
1. KEPEDULIANAN KEPADA SESAMA
Ø sering ditunjukkan bahawa pengabaian dan keacuhan terhadap orang lain yang lahir daripada keegoisan yang disamakan sebagai tindakan menghargai “privasi”.
Ø Tuhan meminta kita untuk menjadi “penjaga” terhadap saudara dan saudari kita (Kej 4:9), untuk membangun suatu relasi yang didasarkan atas kepedulianan dan perhatian kepada kesejahteraan satu sama lain.
Ø Perintah yang utama untuk mengasihi satu sama lain adalah menuntut kita untuk mengenali tanggungjawb kita terhadap sesama.
Ø Kepedulianan adalah berkaitan dengan menginginkan segala yang baik dari setiap sudut kehidupan seseorang: fizikal, moral dan rohani.
2) KASIH TIMBAL BALIK
Ø Budaya masakini: kehilangan naluri untuk bezakan baik dari jahat; keperluan untuk menyatakan kembali kebaikan, mengatasi kejahatan.
Ø Kristus sendiri memerintahkan kita untuk menasihati saudara kita yang berbuat dosa (Mat 18:5).
Ø Dalam dunia yang diliputi oleh semangat individualisme, adalah perlu untuk menemukan kembali pentingnya koreksi persaudaraan, sehingga bersama-sama kita dapat berjalan menuju kekudusan.
Ø “Supaya kita saling mendorong dalam kasih dan pekerjaan baik” : berjalan bersama dalam kekudusan.
Ø Panggilan kepadaan kekudusan ialah sebuah perjalanan yang terus-menerus dari kehidupan spiritual.
Ø Waktu yang diberikan kepada kita dalam hidup ini adalah berharga untuk menilai secara bijaksana dan menampilkan perbuatan-perbuatan yang baik dalam cinta kasih Tuhan.
Ø Kita telah menerima kekayaan spiritual atau material yang dimaksudkan untuk digunakan bagi kepenuhan rencana Allah, demi kebaikan Gereja dan demi keselamatan kita sendiri.
Fr Simon juga mengingatkan bahawa dalam kehidupan beriman, jika kita tidak bertumbuh maka dengan sendirinya kita akan mengalami kemunduran. Maka dengan itu beliau menjemput para peserta untuk menerima undangan untuk saling memperhatikan terhadap sesama, seperti tidak ada waktu lain yang lebih baik, untuk menuju ke “tahap yang lebih tinggi daripada kehidupan Kristiani.” Dia mengakhiri sesinya dengan satu slide yang bertajuk ‘Listen To The Voice’.
Sesi malam pertama telah diakhiri dengan Doa Rosari yang di pimpin oleh Sr. Rusiah Garuk, fsic.
HARI KEDUA (23/3/2012)
Keheningan pagi yang damai mengingatkan kami akan kasih Allah yang tidak pernah berkesudahan. Hari kedua ini dimulakan denagan Misa Kudus bersama dengan Rev. Fr. Simon Kontou. Dengan penuh kesyukuran kami bersama-sama memuji dan memuliakan Tuhan Allah dengan doa dan puji-pujian.
Setelah dikenyangkan dengan makanan rohani melalui Ekaristi serta makanan jasmani yang disediakan oleh kaum bapa, kami kemudiannya kembali mendengar sesi yang disampaikan oleh Rev. Fr. Simon yang bertajuk “Siapakah Anak Yang Hilang?” tema retret dan perhimpunan tahun ini.
Sessi Ketiga, “Sakramen Pertobatan Mengikut Tema’, sekali lagi memberi kesedaran bahawa ‘dosa’ menghalang kita untuk menerima kasih Tuhan. Oleh kerana ‘dosa’ adalah satu ‘keputusan pilihan kita’ yang menempatkan apa yang kita pandang lebih utama dari hukum Tuhan (1 Yoh.3:4). Dan seperti kata St. Bonaventure, “menempatkan ciptaan lebih tinggi dari penciptanya”. Dosa adalah melawan Tuhan dan melawan akal budi. Dosa adalah melawan kebenaran, kerana kebenaran hanya ada pada Tuhan. Kebenaran adalah tetap dan tidak berubah, dan kebenaran sejati hanya dapat ditemukan dalam diri Yesus, kerana Yesus adalah Jalan, Kebenaran, dan Hidup (Yoh 14:16). Kesan dari dosa adalah menghancurkan hubungan kita dengan Tuhan dan hubungan kita dengan sesama.
Disebelah petang pada hari kedua, diadakankan juga perkongsian Alkitab dari Yoh. 11:1-45 oleh Sr. Liza Jamat, fsic. Para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan. Sesi perkongsian Alkitab ini telah memberi peluang kepada para peserta untuk merenungkan Firman Tuhan dan berkongsi tentang pengalaman hidup masing-masing.
Upacara Jalan Salib yang dikendalikan oleh Sr. Sylvia Imbun, fsic diadakan pada jam 3.00 petang. Manakala doa petang yang dipimpin oleh Sr. Liza Jamat, fsic diadakan pada jam 6.30 petang.
Sesi malam perdamaian yang telah dikendalikan oleh Sr. Appolonia Gumpu, fsic telah memberi kesempatan kepada para peserta untuk memeriksa diri dan merenungkan kembali rahmat pengampunan dan cinta kasih Allah kepada kita. Sr. Appollonia mengendalikan sesi ini dengan mengambil teladan yang telah dilakukan oleh Yesus sendiri pada malam Perjamuan Terakhir dimana Yesus membasuh kaki dua belas rasulnya. Yesus dalam Injil Yohanes itu mengatakan “Aku telah memberikan suatu teladan kepada kamu, supaya kamu juga berbuat sama seperti yang telah Kuperbuat kepadamu. Jikalau kamu tahu semua ini, maka berbahagialah kamu, jika kamu melakukannya.”
Setelah penjelasan itu selesai, upacara pembasuhan kaki diantara satu sama lain telah diadakan sebagai satu kesempatan untuk memohon maaf diantara sesama. Upacara ini telah membangkitkan rasa kesedaran yang mendalam tentang kelemahan dan kesilapan masing-masing samada melalui fikiran, perkataan, ataupun perbuatan yang mungkin secara tidak disengajakan telah melukai hati orang lain. Namun atas berkat Tuhan yang maha pengasih dan penyayang, maka sesi perdamaian itu telah melahirkan suatu persahabatan baru yang berdasarkan pengampunan Kristus.
Malam perdamaian itu telah di akhiri dengan penuh kegirangan dan kegembiran yang telah diungkapkan dengan pemberian lilin bernyala sebagai tanda perdamaian.