stdomldusoccom
|
‘Aku mahu cinta Yesus’ ~ ku tetap cinta Yesus selamanya |
Lahad Datu : Seminar Pembangunan Insan dalam perspektif Ajaran Sosial Gereja telah diadakan di dewan paroki St. Dominic pada Ahad, 15hb April 2012, dihadiri lebih dari 100 orang umat. Turut serta ialah Rektor Paroki, Rev. Fr. Simon Kontou bersama dengan Sem. Marthin Steven, para sister dan juga pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP), sdra. Willie Binati.
|
Proses pendaftaran |
Seminar sedemikian telah dijalankan di Paroki Katedral St Mary Sandakan pada 6hb Februari, di Paroki St Martin Telupid pada 3hb Mac dan di Paroki Holy Trinity Tawau pada 17hb Mac. Dengan terlaksana seminar di Paroki St Dominic Lahad Datu, maka semua paroki di Keuskupan Sandakan telah didedahkan kepada Ajaran Sosial Gereja.
Seminar yang bermula pada 12.00 tengahari, nampaknya mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dari umat yang hadir mewakili Komuniti Kristian Dasar (KKD) masing-masing.
Sdra. Francis Tan dari Pejabat Keuskupan dalam sesi pembukaan telah menyampaikan tentang hukum pertama dan utama seperti di Matius 22 : 37-39 ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan segenap hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segenap akal budimu dan hukum yang kedua, ‘Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri.’ Ini diikuti dengan ‘Penghakiman terakhir’ seperti di Matius 25 : 40, ‘sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina, kamu telah melakukannya untuk Aku.’ Ianya diakhiri dengan perintah untuk memberitakan Injil di Matius 28 : 19, ‘pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku.‘
|
Sr Maria RGS menyampaikan sesi ‘Apa itu pembangunan insan’ |
Sesi seterusnya disampaikan oleh Sr. Maria Dipal RGS, sedikit-sebanyak telah membuka minda setiap yang hadir dengan tajuk besar ”Mengapa aku harus peduli”, peduli dengan keadaan sekeliling, peduli dengan sesama manusia. Setiap yang hadir diberikan input tentang apakah maksud Pembangunan Insan menurut taksifran Laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu. Juga disentuh ialah peringkat pembangunan manusia dan tahap pembangunan iman dan rohani dimana setiap umat terlibat dalam proses ‘perjalanan pembangunan iman’ menurut perspektif Gereja.
|
Mengenali isu sosial melalui surat khabar |
Seminar tersebut disusuli dengan sesi ‘Ajaran Sosial Gereja’ ~ kunci kepada identiti Katolik. Ia adalah ajaran Gereja bagi kebaikan bersama (common good) dalam masyarakat, untuk mengarahkan masyarakat kepada kebahagiaan. Namum, ramai umat Katolik tidak cukup memahami bahawa misi sosial Gereja adalah bahagian penting iman Katolik.
Sr Maria menghuraikan respon kita terhadap isu-isu sosial yang meliputi tiga aspek tindakan iaitu, kebajikan sosial, merawat kesan-akibat satu masalah, keadilan sosial, merawat akarumbi masalah dan advokasi, menyuarakan bagi pihak yang tertindas.
Sesi berikut ialah huraian tentang tujuh tema penting dalam Ajaran Sosial Gereja yang meliputi kehidupan dan maruah manusia / panggilan kepada keluarga, komuniti dan keterlibatan / peluang bagi yang miskin / maruah pekerjaan dan hak-hak asasi pekerja / solidariti / menjaga ciptaan Tuhan.
|
Hasil perbincangan kumpulan |
|
Sesi soal jawab ~ saya ingin bertanya
|
Fr Simon memberi respon kepada soalan yang dikemukakan |
|
Disamping itu setiap yang hadir dibahagikan kepada perkumpulan untuk membincangkan isu semasa yang sering disiarkan dalam surat khabar harian pada masa kini yang dikaitkan dengan tujuh tema penting dalam Ajaran Sosial Gereja. Setiap kumpulan memberikan pandangan dan pendapat serta mencari jalan penyelesaian secara individu, kumpulan mahupun gereja yang dicatatkan dalam kertas dan kemudian dibentangkannya.
Sesi penutup dikendalikan oleh Sdra Francis yang membawa peserta merenung tentang petikan dari Yakobus 1 : 22, ‘Tetapi hendaklah kamu menjadi pelaku dan bukan hanya pendengar sahaja; sebab jika tidak demikian kamu menipu diri sendiri.’ Sejajar dengan musim Paskah, peserta juga diminta merenung petikan 2 Kor 5 : 17 ‘Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru; yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang. Umat diajak menurut teladan nabi Yesaya yang menyahut panggilan Allah, ‘Ini aku, utuslah aku!’ Kumpul adalah untuk Gereja sementara utus adalah untuk dunia.
Seminar tamat kira-kira pukul 5.00 petang dengan penyampaian penghargaan dari Sdra Willie kepada Sr Maria Dipal RGS selaku ketua rombongan dari Keuskupan Sandakan.