Lawrence Matusin
TELUPID : Komuniti Kristian Dasar (KKD) St. Paul, Klinik Kesihatan Telupid telah merayakan sambutan Ulang Tahun ke-2 bersama Bapa Uskup pada Ahad, 6hb Mei 2012.
Ketika menyampaikan amanat kepada ahli-ahli KKD, Bapa Uskup Julius menyatakan bahawa setiap aktiviti yang dilaksanakan merupakan satu tindakan positif ke arah mengukuhkan perkumpulan komuniti ini, lebih-lebih lagi dalam memperdalamkan aspek kerohanian.
“Ini merupakan satu aktiviti yang sangat berguna. Dengan perkumpulan sedemikan, kita melihat bahawa KKD itu sungguh-sungguh dapat membentuk satu komuniti dan ini bukanlah ciptaan kita sendiri, malah telah diamalkan sejak penubuhan awal Gereja kita.
Banyak perkara positif yang telah kamu lakukan bersama sebagai KKD dan juga kita sudah melihat banyak perkara yang dahulunya kita tidak dapat lakukan tapi sekarang dapat kita lakukan”, jelas Uskup.
Bapa Uskup turut menjelaskan bahawa didalam sebuah komuniti sudah tentu banyak rintangan serta masalah sebagaimana di dalam keluarga kita sendiri. “Perkara seumpama ini tidak dapat kita elakkan. Maka dengan itu, kita jangan lemah semangat apabila kita menghadapi cabaran sedemikian.”
Uskup Julius kelihatan ceria |
“Sebagai landasan untuk kita terus maju, apa saja kegiatan atau pekerjaan yang diamanahkan, kita seharusnya berpusatkan kepada Kristus. Sama ada kehidupan kita seharian, keluarga mahupun dalam komuniti kita,” ujarnya.
Fr Jasery mengenakan topi kenangan |
Hadir bersama ialah Paderi Paroki, Fr. Jasery G. Emmanuel serta beberapa umat dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Kerasulan Belia Paroki yang turut memberi persembahan. Dalam ucapan terdahulu, Ketua KKD St. Paul Sdra Lawrence Matusin melahirkan rasa gembira dengan kehadiran Bapa Uskup yang turut membakar semangat ahli-ahli KKD untuk terus bergiat aktif dalam membantu Paroki dalam menjayakan setiap aktiviti.
Makan bersama telah diadakan dengan setiap keluarga menyediakan makanan tradisi serta persembahan dari belia dan keluarga KKD St. Paul.