Tawau – Tim Kerasulan Belia Keuskupan (KBK), Sandakan telah mengadakan rekoleksi mereka bersama – sama dengan tim Kerasulan Belia Paroki Holy Trinity, Tawau pada 28 April 2012 lalu dan diikuti dengan mesyuarat KBK yang ke 11 dihari berikutnya.
Pengisian rekoleksi kali ini lebih tertumpu kepada pelayanan dan hubungan mereka dengan Tuhan secara individu. Sebagai yang melayani tidak dinafikan kehidupan yang dilalui banyak cabarannya. Adakalanya hidup terlalu sibuk sehingga terlupa akan sesuatu yang lebih besar – Yesus. Oleh yang demikian sesuailah saat itu mereka berhenti sejenak dan melihat kembali perjalanan rohaniah dan kehidupan yang lalu agar dapat direnungkan dan mengembalikan dorongan utama mengapa setiap mereka dipanggil dalam pelayanan ini.

Rekoleksi dimulakan dengan doa pagi berbentuk Lectio Divina yang telah dikendalikan oleh Bro. Bell. Dalam sesi ini Bro. Bell ingin mengajak tim untuk berlatih berdialog dengan Roh Kudus. Terdapat empat elemen yang diperlukan bagi tim iaitu bacaan, meditasi, doa dan kontemplatif. Sesi ini memerlukan tim KBK untuk lebih berdiam diri dan menggunakan cahaya lilin agar dapat fokus dengan petikan – petikan alkitab yang lebih mengutamakan perkataan ‘Hikmat’.
Permulaan hikmat adalah takut akan Tuhan, dan mengenal Yang Mahakudus adalah pengertian. Amsal 9:10

Rekoleksi ini diteruskan dengan sesi ‘PAUSE’ yang dikongsikan oleh saudari Anna Teresa. Dalam sesi ini tim KBK diingat untuk mengambil masa untuk berhenti atau berehat seketika seperti Yesus dengan rasulNya “Marilah ke tempat yang sunyi, supaya kita sendirian, dan beristirehat lah seketika” Markus 6:31 
Tim KBK diajak untuk merenung beberapa soalan seperti:
1. Apakah perkara yang perlu saya lepaskan semasa berada dalam rekoleksi ini?
2. Apa yang saya perlu lakukan untuk menjadikan rekoleksi berbuah yang baik?
Selepas merenung, tim diajak untuk mengongsikan perkara diatas kepada ahli KBK yang lain dan sesi diakhiri dengan doa “BE STILL”.

Selepas makan tengahari dan rehat, program diteruskan dengan sesi “STEP BACK” yang juga disampaikan oleh saudari Anna. Dalam sesi ini, tim dibawa untuk mengimbas kembali dengan memperlihatkan kepada mereka video klip rekoleksi yang lalu di St Mary Wonod, Telupid. Sejurus selepas itu tim disajikan dengan soalan berikut untuk direnungi:
Saya melihat kembali pertama kali saya dipanggil sebagai ahli KBK/KBP dan semua yang telah saya lakukan, bagaimana saya meletakkan Kristus atas segala -galanya?
Selesai sahaja merenung, tim diberi masa untuk membuat perkongsian sesama mereka kerana melalui perkongsian mereka boleh melihat sendiri perjalanan mereka sebagai yang melayani, bekerja dan belajar. Malah mereka akan merasa disokong kerana ada orang yang mendengar perkongsian mereka. Bukan itu sahaja malah mereka juga dapat melihat bagaimana Tuhan berjalan bersama mereka sepanjang pelayanan mereka. Perkongsian diteruskan sambil membentuk simbol keperibadian Yesus dalam hidup mereka melalui tanah liat.

Rekoleksi kemudiannya diteruskan dengan sesi “MOVE ON” yang disampaikan oleh Sr Lilian Unsoh. Dalam sesi ini Sr Lilian lebih memberi fokus kepada perhubungan tim dengan Yesus secara peribadi dan juga hubungan dengan semasa tim. Semasa sesi, Sr Lilian telah menunjukkan beberapa video klip untuk renungan tim.

‘…. learn to just put YOU first, only with YOU can i move on….’

Ya, sememangnya itulah kebenaran yang diperlukan iaitu meletakkan segala-galanya berpusatkan Yesus kerana Dialah kehidupan yang memungkin segala yang mustahil. Seperti kata Yeramiah 17: 7 – 8 – “Diberkati orang yang mengandalkan Tuhan, yang menaruh harapannya pada Tuhan! Ia akan seperti pohon yang ditanam ditepi air, yang merambatkan akar-akarnya ke tepi batang air dan yang tidak mengalami datangnya panas terik, yang daunnya tetap hijau, yang tidak kuatir dalam tahun kering, dan yang tidak berhenti menghasil buah,”

Sebagai yang melayani mereka juga memerlukan antara satu dengan yang lain. Walaupun secara Geografinya mereka terpisah dengan jarak namun doa mengeratkan mereka lebih dekat dan kuat. Sr Lilian telah menjemput setiap tim KBK mendoakan antara sesama sebagai sokongan dan sentiasa diingati bahawasanya mereka tidak akan berjalan sendiri.

Rekoleksi ini diakhiri dengan acara kemuncaknya iaitu perayaan Ekarisiti yang di selebrankan oleh Fr David Garaman. Sempena MINGGU PANGGILAN, Fr David menjelaskan betapa pembacaan minggu masa itu sangat-sangat mengena dengan panggilan dan pelayanan sebagai KBK/KBP. Sesungguhnya tugas seorang yang melayani adalah tidak senang. Masing-masing mempunyai keinginan manusiawi akan tetapi perlu mengikuti keinginan Tuhan. Keinginan manusiawi apabila dituruti kehendaknya, kepuasan itu hanyalah bersifat sementara.

“God calls us in a very special way to serve and sees us as the ONLY LOVE, the love that brings us to heaven. Cinta Allah ini adalah bersifat kekal.” Fr David Garaman

Dalam homilinya, Fr mengongsikan perjalanan dan panggilannya sebagai paderi. Beliau juga menyatakan bahawa sangat mungkin untuk melakukan kehendak Tuhan, hanya jika setiap tim meluangkan masa untuk Yesus. Jika tidak, maka susah untuk benar-benar mendengar bisikkan si Gembala Baik ini. Oleh itu, selalulah memohon bantuan Yesus dalam melaksanakan pelayanan sebagai seorang pemimpin.

Akhir kata, Fr David menyeru semua pemimpin KBK/KBP ini agar mendapatkan inspirasi dari firman Tuhan sempena MINGGU PANGGILAN iaitu Yohanes 10: 11 – 18, agar sentiasa teguh, setia, telus dan jujur dalam pelayanan. Yang indah sekali menjadi seorang Katolik adalah kita disatukan dengan Yesus Kristus dalam Ekaristi. Maka kita akan senantiasa diberkati olehNya walau menghadapi cabaran yang banyak. Terus untuk senantiasa berdoa untuk rahmatNya didalam pelayanan.

Seperti biasa diakhir rekoleksi, tim KBK akan mengadakan fellowship bersama – sama. Fellowship kali ini diadakan bersama tim KBP. Fellowship seperti ini amat baik buat tim kerana sekali sekala berjumpa, berkongsi dan berseronok mengeratkan lagi persahabatan antara sesama.

Dalam fellowship ini juga tim mengambil kesempatan untuk menyambut ulang tahun ke- 2 tim sebagai Kerasulan Belia Keuskupan. Semoga dengan berkat Tuhan, tim KBK akan terus berpegang teguh kepada Yesus yang menjadi dorongan mereka untuk terus melayani.

ds/aa