Perkongsian Ke-3:

Paul Chin Yick Ming

Salam damai saudara dan saudari yang terkasih dalam Kristus. Nama saya Paul Chin Yick Ming berbangsa Cina, berasal dari Kota Kinabalu.  Saya dari denominasi lain sebelum menyertai Kristian Katolik. Saya sungguh gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk perkongsian ini. 

Sejak beberapa tahun kedatangan saya ke daerah Lahad Datu, Sabah.  Saya telah menghabiskan masa dengan minum minuman yang memabukkan.  Saya adalah seorang yang suka memabukkan diri tidak kira di mana saja, samada di tepi jalan atau di tempat-tempat yang ada menjual minuman keras. Keutamaan dalam hidup saya ialah senang untuk mengambil minuman keras. Saya juga suka mengunjungi pusat-pusat hiburan dan sentiasa pulang subuh. 


Dengan kehidupan saya seperti ini, menyebabkan saya suka marah dan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati pada rakan-rakan sekerja saya. Saya juga mengabaikan keluarga saya yang memerlukan perhatian harian. Saya mempunyai seorang ibu yang sakit dan seorang anak yang kehilangan kasih sayang ibunya.  Bertahun-tahun saya berada dalam keadaan sering mabuk.

Keadaan saya ini mendapat perhatian dari seorang kawan yang tahu cara kehidupan saya yang tidak baik ini. Kawan saya itu telah menasihati saya agar tidak terlalu meminum arak kerana ini akan menyebabkan kesihatan saya terganggu. Kemudian, dia telah mengajak saya untuk mengikuti Misa Kudus di Gereja Katolik St. Dominic, Lahad Datu. 


Pada mulanya, saya tidak mempedulikan dia. Sehingga suatu hari, secara tiba-tiba saya terasa terpanggil untuk menghadiri Misa Kudus tersebut. Saya pun bertanyakan tentang jadual Misa Kudus di gereja itu. Tanpa saya sedari, Hari Ahad telah tiba dan saya telah memulakan langkah baru saya ke gereja. Selepas itu, saya pun mulai beransur-ansur dapat mengurangkan minuman agar saya dapat mengikuti tiap Misa Kudus.  Tanpa disedari, rupanya sudah setahun berlalu, saya hadir ke gereja setiap minggu. Akhirnya, suara hati saya berkeinginan kuat untuk menjadi Katolik.


Pada waktu itu juga, kawan saya telah memberitahu tentang kelas IKD telah bermula. Saya telah mendaftarkan diri ke kelas IKD tersebut. Saya ingin mengetahui lebih dalam lagi tentang Yesus Kristus. Perjalanan iman dalam kelas IKD telah mengubah cara hidup saya kerana di situlah saya telah mengetahui apa itu cinta kasih daripada Allah Bapa dan Puteranya, Yesus Kristus. 


Saya kini sudah berubah. Saya sudah boleh bersabar dan mendengar pendapat orang lain serta nasihat dari keluarga saya. Saya memulai hidup baru dengan mengikuti ajaran-ajaran dari kelas IKD.  Saya sendiri pun dapat merasai ‘perubahan yang baik’ terhadap diri saya.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kehidupan yang baru kepada saya dan amat menghargai jasa para pembimbing yang sudi meluangkan masa untuk membimbing kami semua sehingga kami dibaptis. 


Terima kasih juga kepada penanggung saya. Beliau telah memberi perkongsian yang memberi banyak manfaat kepada saya. Saya memohon agar umat turut mendoakan kami, baptisan baru untuk teguh dalam iman kami yang baru tumbuh ini. Kini, saya nekad meninggalkan cara hidup lama dengan sepenuh hati.  


II Korintus  5:17 “Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang. “

Sekian dan terima kasih.