LAHAD DATU: Pertemuan Minggu Gembira (PMG) (BM) Gereja St Dominic, Lahad Datu telah mengadakan Penutupan Kelas bagi Sesi 2013 dengan mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan pada Sabtu, 19hb Oktober 2013. Selain membuat lawatan rasmi tersebut, mereka turut melawat tempat-tempat menarik di Daerah Sandakan iaitu Pusat Pemulihan Orang Utan, Sepilok, Batu 14 dan Taman Buaya, Batu 8, Sandakan.
Apa yang menarik serta menggembirakan para pelawat terutamanya kanak-kanak tersebut ialah mereka dapat bertemu sendiri dengan Rt. Rev. Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan di pejabatnya iaitu Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan. Apa yang telah membuat mereka lebih teruja ialah Bapa Uskup Julius sempat meluangkan sedikit masa buat mereka walaupun agak sibuk dengan tugasan beliau.
Pada awal kedatangan mereka ke Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan, mereka telah disambut oleh Saudari Anna Teresa Peter Amandus (Pengarah, Pejabat Belia Keuskupan Sandakan) dan Saudari Sharon Tan (Pembantu Pengarah, Pejabat Belia Keuskupan Sandakan). Mereka dibawa untuk melawat pejabat-pejabat / seksyen-seksyen yang ada di dalam bangunan pusat itu.
Input kedua yang mereka terima ialah bertajuk, “Pentingnya Ekaristi”. Input telah disampaikan oleh Saudara George Lawadin, Pembantu Setiausaha Eksekutif Keuskupan Sandakan. Mereka berpeluang untuk melihat lebih mendalam sedikit mengenai apa yang akan mereka alami selepas menerima Sakramen Komuni Pertama pada 27hb Oktober 2013 nanti.
Pihak penganjur ingin merakamkan penghargaan kepada Bapa Uskup dan semua staf Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan kerana sudi menerima lawatan tersebut dan sempat meluangkan masa bersama mereka pada hari tersebut. Mereka turut terharu dengan layanan yang telah diberikan.
Rombongan telah mengambil kesempatan untuk bergambar bersama Bapa Uskup Julius dan para staf sebelum mereka berangkat ke tempat penginapan mereka dan meneruskan lawatan ke Sepilok. Rombongan tersebut telah bertolak balik ke Lahad Datu selepas makan tengah hari pada keesokan harinya.


.jpg)
.jpg)

