Dalius LL, Soccom Paroki Katedral St. Mary
Sandakan: “Bertolong-tolonglah menanggung bebanmu, demikianlah kamu memenuhi hukum Kristus” (Gal 6:2). Kata-kata daripada Santo Paulus ini telah menjadi dorongan untuk Komuniti Kristian Dasar (KKD) Paroki Katedral St. Mary untuk menyumbang bakti kepada 3 keluarga KKD yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Bakau Sandakan. Tiga keluarga yang berjumlah 10 orang ini adalah ahli-ahli KKD di Kg. Bakau yang menjadi mangsa kebakaran pada 5 Januari, jam 3.00 pagi. Kebakaran dipercayai berpunca dari kelalaian manusia di salah sebuah rumah dari 15 buah rumah yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Sumbangan dalam bentuk makanan, pakaian dan wang ringgit telah didermakan oleh beberapa KKD di Paroki ini dan diserahkan kepada Jawatan Kuasa Induk KKD Katedral untuk disalurkan dan diagih-agihkan kepada ahli-ahli keluarga mangsa kebakaran pada 8 Februari lepas.
Pengerusi KKD Kg. Bakau, Sdra Franco Amigo, yang juga merupakan ahli jawatankuasa Induk KKD Paroki telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Ketua perkumpulan KKD di Kampung ini, Sdra Gabriel Petrus. Turut hadir bersama rombongan ini ialah Pengerusi Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) Gereja St. Mark, Sdra Petrus Bean yang turut menghulur sumbangan dari KBKI kepada keluarga mangsa kebakaran yang kesemuanya adalah orang Flores.
Dalam kenyataan ringkas Sdra Franco, beliau berharap melalui sumbangan yang se-adanya ini dapat meringankan sedikit beban keluarga mangsa dalam menghadapi saat-saat kesedihan ini. Satu doa rosary akan dianjurkan di salah sebuah rumah ahli KKD di Kg Bakau, khas untuk berdoa bersama-sama dengan keluarga mangsa kebakaran.


