Temubual dengan Pn Angeline Bangad, penderma tapak Kapela St Angeline sempena dengan Upacara Pemberkatan dan Perasmian Kapela tersebut pada Ahad, 24hb Mei 2015.
Dalam Tahun 1984, Paderi Paroki St Dominic, Lahad Datu, Fr. Preyde (mendiang), lazimnya akan singgah di rumah keluarga Pn. Angeline sebelum dan selepas lawatan pastoral di kawasan Madai.
Dan suatu ketika semasa Fr. Preyde singgah di rumah keluarga Pn. Angeline, beliau telah bertanya tentang keluasan, sempadan dan kemungkinan pihak Gereja memperolehi sebidang tanah untuk pembinaan kapela di tempat tersebut. Pihak keluarga Pn. Angeline tidak mempunyai halangan malah berbesar hati untuk memyumbangkan tapak tersebut kepada pihak Gereja. Setelah mendapat tapak tanah tersebut maka bermulalah proses pembinaan kapela di Kg. Madai ini.
Kapela pertama di Kg. Madai telah siap dibina sekitar tahun 1988. Umat yang hadir beribadah berjumlah sekitar sepuluh orang yang terdiri dari bangsa Kadazan, Filipino, Timur dan Toraja. Pn Angeline serta suami, Robert Muji Sorop, 68 berasa amat senang setelah kapela ini siap dibina dan dapat beribadah di kapela ini kerana tidak perlu lagi berjalan kaki sehingga begitu jauh. Atas permintaan Fr. Preyde bahawa kapela ini harus dijaga dengan baik, maka kapela ini dibina berdekatan dengan rumah keluarga Pn. Angeline. Anak tunggal perempuan Pn. Angeline, Rose Robert, 40-an yang kini sudah berkeluarga telah mengambil alih meneruskan tugas menjaga kapela tersebut.
Selama kapela ini dibina, tidak ada masalah yang begitu mencabar yang dihadapi di tempat ini kerana semua umat saling berganding bahu. Umat di kapela ini telah berkembang dengan kehadiran umat yang kini mencecah lebih dari seratus orang.

