Shalom dan salam damai!
Saya berasa sangat gembira dan berterima kasih kepada Tuhan Yesus kerana di beri peluang untuk berkongsi pengalaman pertama saya menyertai retret tahunan Order Fransiskan Sekular (OFS ).
Pada mulanya, saya tidak mengerti akan panggilan Tuhan kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga OFS. Namun, apabila saya di fahamkan bahawa Fraterniti Katedral St Mary akan menjadi penganjur retret pada tahun ini, saya merasakan ini adalah peluang yang diberikan kepada saya sebagai seorang belia untuk merenung sejauh mana komitmen pelayanan saya sambil mengalami cinta kasihNya.
Sepanjang 3 hari retret ini berjalan, saya berusaha untuk melibatkan diri secara aktif dan saya sangat tertarik dengan sesi yang di berikan oleh Fr Michael Teng. Ini mendorong saya untuk melihat lebih jauh apakah saya mempunyai ciri-ciri kehidupan seperti Santo Fransiskus Assisi sebagai anggota OFS.
Selain itu, kesatuan doa dapat saya rasakan ketika berdoa Rosari di Bukit Maria sambil menikmati alam sekitar bersama dengan keluarga OFS.
Sesi ‘Franciscan Joy’ sesungguhnya menghidupkan lagi tema retret pada tahun ini iaitu “Persaudaraan : Elemen Penting Dalam Kehidupan Seorang Fransiskan.” Semasa Franciscan Joy, secara peribadi saya tersentuh dengan suasana persaudaraan yang diciptakan di dalam keluarga OFS tanpa mengenal usia melalui persembahan-persembahan dari setiap fraterniti.
Sukar untuk saya ungkapkan perasaan gembira dan bersyukur sepanjang mengikuti retret ini kerana cinta kasihNya yang saya alami dan ia merupakan pengalaman yang tidak akan dapat saya lupakan. Sebagai pemerhati dalam keluarga Fransiskan, hanya doa dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara dan saudari terutama sekali dari Fraterniti Katedral St Mary kerana telah menerima dan membimbing saya di dalam keluarga baru ini. Tidak dinafikan kerinduan terhadap keluarga besar OFS sudah mulai timbul di hati ini, tetapi saya yakin di dalam doa, kita bersatu dan semoga kita berjumpa lagi di retret seterusnya di Labuan.
Tuhan memberkati!
