Artikel dan gambar oleh Rayner
Pada 31 Ogos 2016 yang lalu, para belia St. Mark-Peter telah mengadakan satu program telematch bertempat di St. Mark batu 12, Sandakan. Telematch ini diberikan tema Running Youth yang diambil dari sebuah rancangan tv iaitu running man. Kesemua aktiviti dijalankan adalah berdasarkan rancangan tv tersebut tetapi telah diubahsuai untuk agar para belia dapat mengikuti program ini lebih baik dan sihat. Objektif utama telematch ini adalah untuk mengeratkan hubungan dan berkenalan sesama belia dan disamping mengalakkan para belia untuk sentiasa menjaga dan mengekalkan kesihatan serta cergas melalui aktiviti sukan.
Program ini disertai oleh 64 peserta belia St. Mark, St. Petrus KBKI dan juga pelajar-pelajar dari Politeknik Sandakan. Pendaftaran peserta bermula pada jam 7.00 pagi. Saudara Dimeh Kopoyoh selaku pengerusi MPUK St. Mark telah merasmikan acara tersebut dan memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada para peserta. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa aktiviti seperti telematch ini harus diteruskan kerana dapat mewujudkan ikatan persaudaraan sesama para belia.
Acara dimulakan dengan pemanasan badan melalui Zumba sebagai pencetus semangat. Kemudian, peserta dibahagikan kepada 7 kumpulan dan setiap kumpulan ini perlu mencipta sorakan khas mengikut kreativiti dan keunikan masing-masing. Sebelum telematch dimulakan terdapat beberapa ‘spy’ ataupun ‘parasit’ yang telah dipilih secara rahsia oleh pihak penganjur untuk menyingkirkan peserta secara tersembunyi. Peserta yang tersingkir akan mendapat penalti untuk permainan yang seterusnya.
Selepas kumpulan diagihkan, peserta terus ke padang untuk memulakan games. Antara games yang diketengahkan adalah si buta, the walking stick, silent action, syiling dalam tembikai dan isi air dalam botol menggunakan baldi. Para peserta bermain dengan penuh semangat dan sukacita. Gerai-gerai juga disediakan bagi memudahkan peserta membeli makanan pada waktu rehat. Setelah waktu rehat berakhir, peserta meneruskan permainan yang disediakan seperti Oh my ballon dan lari dalam karung. Permainan yang ditunggu-tunggu oleh peserta ialah Tarik tali 6 penjuru dimana hanya 6 kumpulan dari 7 kumpulan sahaja yang akan bertanding kerana 1 kumpulan telah disingkirkan oleh spy/parasit yang bersembunyi. Kesemua ahli bagi kumpulan yang tersingkir dimasukkan ke dalam 6 kumpulan tersebut untuk merasai permainan yang sengit ini.
Game your name is mine (ripping name tag) merupakan acara kemuncak dimulakan sejurus saja permainan tarik tali 6 penjuru selesai. Dalam permainan tersebut, setiap kumpulan perlu mencabut tag nama kumpulan-kumpulan yang lain dan melindungi ketua kumpulan masing-masing untuk menang permainan ini. Seluruh kawasan gereja kecuali dalam gereja digunakan untuk permainan tersebut.
Setelah semua permainan tamat, pihak penganjur mengira mata bagi setiap kumpulan untuk mendapatkan pemenang. Acara penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Arjohn Siow selaku ketua belia Mark-Peter bagi kumpulan yang menang. Sebagai menutup tirai telematch tersebut, kesemua peserta diajak mengambil gambar kenangan dan membersihkan kawasan gereja sebelum balik ke rumah masing-masing.