Lahad Datu: Pada 30 Oktober 2016 yang lalu, seramai 20 orang calon dari kapela luar stasi St. Anthony, Lahad Datu telah menerima sakramen penyambutan pertama dalam misa kudus yang diselebrankan oleh Rev.Fr.Simon Kontou. Misa yang bermula pada jam 3.00 petang telah dihadiri dan disaksikan kira-kira 200 umat awam.
Calon – calon penyambutan terdiri dari beberapa tempat iaitu 13 calon dari Kapela St.Anthony sendiri, 6 calon dari St.Michael Lam Soon dan 1 calon dari Gereja St.Dominic, Lahad Datu. (Oleh kerana sijil baptisnya lambat sampai dari Indonesia, maka dia terlambat untuk ikut dalam misa penyambutan di paroki).
Dalam homili Rev. Fr. Simon Kontou, mengenai seorang pemungut cukai yang bernama Zakeus. Dia sangat dibenci oleh orang sekeliling kerana sifatnya yang suka memeras harta orang lain. Namun, satu contoh baik yang diperlihatkan disini adalah Zakeus ingin sekali melihat Yesus sehingga sanggup mengharungi rintangan dan tidak putus asa serta sanggup memanjat pokok ara, dan akhirnya, beliau mendapat panggilan dari Yesus, “Zakeus, segeralah turun! Hari ini Aku harus menumpang di rumahmu.” (Luk 19 : 5). Setelah mendengar perkataan yang cukup indah dari Yesus yang tidak pernah didengarinya sebelum ini, maka bertaubatlah Zakeus. Disini, Zakeus menjadi contoh bagaimana Tuhan memenuhi cintakasih kepada pendosa.
“Kita semua sungguh berharga untuk dimusnahkan dan kerana itu kita mempunyai Tuhan yang mencari seorang berdosa untuk kembali kepadaNya. Tuhan yang sesungguhnya mencintai kita sehingga mahu menyelamatkan kita dari sesat, dan semoga kita dapat membawa Tuhan dalam kehidupan kita.” Demikianlah penegasan dari homili Fr.Simon
Misa kemudiannya dilanjutkan dengan penerimaan Sakramen Komuni Kudus dalam Komuni. Komuni didahulukan oleh para calon kemudian diikuti dengan umat. Misa ini selesai sekitar jam 5:00 petang.