BRENDA DE GUZMAN, ofs
Pendaftaran bermula pada jam 4:00 petang dan diikuti dengan Jalan Salib yang diadakan di Katedral St. Mary. Puan Cecelia D’Souza selaku Ketua Penyelaras KWKKS mengalu-alukan kehadiran para wanita dengan harapan semua dapat diperkasakan lagi sebagai seorang wanita dengan menimba ilmu melalui program ini. Beliau juga berharap agar setiap yang hadir dapat mengalami perubahan, untuk lebih memahami hati sendiri dan memperteguhkan iman jauh lebih dalam lagi dengan semangat baru dan menjalani kehidupan dengan cara baru untuk melayani Tuhan serta sesama.
Beliau juga mengingatkan agar setiap yang hadir untuk merenungkan dalam diri masing-masing mengenai apakah yang mereka mahu dapatkan dan harapkan daripada program tersebut. Rev. Fr. mengatakan bahawa sebagai salah satu cara memproses apa yang telah mereka lalui dalam program itu, beliau ingin melihat bersama mereka hasilnya nanti secara realiti, sama ada apa yang mereka harapkan itu dapat perolehi untuk dipraktikkan atau diubah dan digunapakai dalam pelayanan mereka. Dengan itu, beliau berharap agar wanita-wanita ini benar-benar dapat diperkasakan dalam pelayanan di gereja dan sekaligus terhadap pelaksanaan tanggungjawab kepada keluarga juga.
Dalam sesi pertama, Sr. Maria mengajak para peserta untuk menyiapkan diri dan merenungkan beberapa persoalan:- 1) Dimanakah engkau? 2) Mengapa anda di sini? 3) Apa yang anda cari? 4) Apakah yang anda minta/harapkan? Beliau memetik firman Tuhan, ‘Segala sesuatu ada waktunya’ (Pengkotbah 3:1). Mengimbas kembali peristiwa Kejadian, di mana Tuhan menciptakan dunia ini dan segala isinya sesuai dengan waktunya dan semua baik dan indah.
Sesi kedua adalah mengenai Perjalanan Batin di mana para peserta diminta untuk mendengarkan dengan lebih dekat dan teliti akan hikmat kebijaksanaan setiap musim kehidupan dengan menggunakan refleksi, doa dan meditasi. Musim kehidupan merangkumi kitaran hidup yang membawa pertumbuhan, pengalaman dari segi spiritual dan menyedari kehadiran Tuhan di dalam diri.
Sesi ketiga membawa semua wanita Memahami Krisis Kehidupan Manusia yang mempunyai 4 Peringkat Perkembangan iaitu Fizikal, Kognitif/Pemikiran, Sosial/Personaliti dan Teori. Dalam sesi ini, Sr. Maria membicarakan krisis-krisis kehidupan wanita. Para wanita memerlukan satu semangat yang utuh, mentaliti yang bijaksana dan kematangan sikap di mana semua ini dapat diperoleh apabila mereka percaya, bertumbuh, berbuah dalam Yesus Kristus.
Sesi kelima ialah tentang Mewujudkan Ruang Kudus. Untuk membina sistem sokongan, Kerasulan Wanita Katolik haruslah mewujudkan ruang kudus dalam persahabatan dan hidup berkomuniti. Program ini merupakan program belajar bersama, berkongsi kebijaksanaan, mencari dan mendalami makna dan erti, memberi dan menerima sokongan serta memupuk proses transformasi (perubahan).
Di dalam sesi terakhir, para wanita diajak untuk ‘Menjadi pembawa damai.’ Setiap wanita yang hadir diminta untuk menyedari dan mengakui bahawa semua peribadi diri tidaklah sempurna tetapi mempunyai semangat untuk bangkit dan bertumbuh semula.