Jordan Jamlin Sarawi
Saya Jordan Jamlin Sarawi berasal dari kampung Tinongian, Kaingaran Ulu Sugut Ranau. Sebelum ini saya adalah seorang kristian SIB dan kini sedang berkhidmat sebagai seorang anggota tentera berusia 40 tahun.
Sebelum mengikuti Kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD), sikap panas baran, susah bertolak ansur, dan sentiasa inginkan supaya kata-kata saya saja yang didengar dan dituruti oleh orang lain menyebabkan keluarga saya terutamanya isteri saya menghadapi kesukaran untuk berbincang. Hati dan perasaan dalam kehidupan peribadi saya sentiasa dalam keadaan kacau, jiwa tidak tenteram apabila ada individu yang tidak menerima pendapat ataupun cadangan saya. Saya kurang sikap optimis terhadap sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan harian saya. Selain daripada itu, saya juga sering tertanya-tanya dan berteka teki tentang Tuhan yang seharusnya saya percaya dan yakini dalam kehidupan saya.
Melalui iman Katolik, saya dapat mengenali Yesus Kristus Juruselamat kita. Saya juga mampu memahami, mendalami dan menerima kehidupan sebagai seorang kristian menurut kehendakNya kerana saya inginkan kehidupan kekal seperti yang Allah Bapa janjikan kepada kita dalam SabdaNya. Saya menyertai Kelas IKD kerana ingin dibaptis dan mengubah sikap buruk yang menyelubungi dalam perhubungan saya bersama keluarga dan orang lain. Kepekaan terhadap tanggungjawab dan amanah daripada-Nya makin saya rasai untuk membentuk keperibadian Rohani keluarga supaya dapat menjadi pengikut Yesus Kristus yang setia dan dapat mengamalkan sikap yang Dia hendakkan.
Setelah dibaptis, kehadiran Roh Kudus dalam diri saya telah menyebabkan jiwa saya lebih tenteram dan sikap saya lebih berdiplomasi, optimis terhadap orang lain dan juga dalam perhubungan kami sekeluarga. Pemahaman tentang Tuhan menurut ajaran iman Katolik telah diperkasakan dalam jiwa saya dan segala persoalan tentang konsep Tri-Tunggal, Bonda Maria dan kehidupan Para Rasul sudah terjawab.
Harapan saya agar dapat terus berusaha penuh dalam memperdalamkan kefahaman saya tentang ajaran-Nya dan sekaligus melaksanakan kehendak-Nya demi kemuliaan nama-Nya dan membantu mereka yang masih belum mengenali Tuhan seturut iman Katolik.
SayaFrancis Wong Teck Sing, berusia 30 tahun. Berasal daripada sebuah kampung di pedalaman Ulu Balingian, Selangau, Sarawak. Dengan berkat saya telah menikah dengan Elzahra Josephine juga berasal dari Sarawak dan kami telah dikaruniakan dua orang anak perempuan iaitu Daniella Bella Wong dan Deanndra Cheryll Wong.
Pada tahun 2009, kami sekeluarga telah berpindah ke Sandakan, Sabah atas sebab pekerjaan. Kami sekeluarga gembira kerana cara hidup di Sabah tidak jauh beza seperti di Sarawak. Saya beserta ahli keluaraga masih berpegang pada kepercayaan adat kaum iban lama mengikut ibu saya, manakala isteri saya pula adalah asalnya adalah seorang Kristian Methodist. Saya dan isteri saya telah menyempurnakan perkahwinan kami mengikut adat kepercayaan nenek moyang kaum Iban dirumah panjang. Walaupun isteri saya telah dibaptis di Gereja Methodist namun beliau sering tidak menghadirkan diri dalam Gereja, bahkan kami berdua masing-masing tidak pernah berfikir untuk meninggalkan kepercayaan kami.
Saya mula mengenal kristian Katolik semasa saya di sekolah menengah lagi, dimana pergaulan saya banyak bersama dengan belia yang aktif dalam Gereja Katolik. Pergaulan mereka sering kali tentang Yesus dan Katolik menyebabkan saya mula tertarik dan bersetuju untuk menyertai mereka. Pada awalnya, perasaan janggal memang jelas dirasai kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan tetapi saya tetap mengikuti mereka. Saya mula menyimpan hasrat untuk menjadi seorang katolik sehinggalah saya berkahwin. Ibu saya juga tidak pernah membantah niat saya untuk menjadi seorang katolik malah menggalakkan saya supaya serius dengan apa yang saya percayai. Demikian juga isteri saya, dia mula berminat dengan iman katolik ini melalui teman-temannya.
Hal ini berlangsung pada pertama kalinya, saya telah mengajak anak dan isteri saya untuk turut serta dalam perayaan sambutan hari polis bagi polis beragama Kristian di Katedral St. Mary’s Sandakan pada hari minggu dan di hujung misa kudus tersebut, kami telah mendengar pengumuman bahawa pendaftaran dibuka untuk mengikuti kelas IKD bagi mereka yang ingin mengikuti Yesus melalui iman Katolik.
Kami telah membuat keputusan untuk mendaftarkan diri tetapi kami berasa agak kekok kerana mempunyai anak kecil yang kuat meragam. Puji dan syukur, kami semua dapat menyesuaikan diri di dalam kelas tersebut dan layak dibaptis menjadi warga Katolik. Setelah dibaptis, kedamaian yang lahir dalam jiwa kami dapat dirasai, ternyata Tuhan Yesus sentiasa tahu apa yang tersirat dihati dan membuka jalan untuk kami.
Percayalah bahawa panggilan daripada-Nya tetap ada, sahutlah Dia melalui iman katolik. Saya berharap agar iman kami akan terus bertumbuh dan keazaman untuk memuliakan nama Tuhan akan tetap ada. Jutaan terima kasih kepada para paderi, sister, barisan pembimbing dan teman-teman seiman yang sentiasa berjalan bersama kami dari awal sehinggalah saat ini. Amen.