SOCCOM St. Martin,Telupid

Telupid – Kira-kira 90 ahli Majlis Pastoral Paroki serta AJK setiap Komiti, Zon, KUK telah hadir dalam rekoleksi pada tanggal 22 Mei 2021 bertempat di Gereja St Martin, Telupid. Rekoleksi ini telah disampaikan oleh Paderi Paroki iaitu, Rev. Fr. Christoper Ireneus.

Semasa sesi Rekoleksi

Rekoleksi bermula dengan pendaftaran, sesi Pujian dan Penyembahan yang dikendalikan oleh Seminarian Edward serta doa pembukaan yang dipimpin oleh Rev. Fr. Christoper. Fokus utama rekoleksi ini ialah untuk memberikan peneguhan serta pemahaman yang lebih mendalam tentang konsep pelayanan.

Pengerusi-pengerusi Komiti

Sesi pertama rekoleksi adalah berkisar tentang topik Pelayanan. Semua peserta diajak untuk menyelami panggilan masing-masing dan menyedari kewajiban di dalam pelayanan. Paderi paroki mengingatkan semua peserta bahawa setiap pelayanan mempunyai peranan masing-masing dalam memelihara persekutuan dengan Gereja, menjalani pelayanan dengan bersungguh-sungguh serta bersatu dengan tujuan yang sama iaitu untuk memajukan gereja. Sesi ini diteguhkan lagi dengan mengajak semua peserta  mencontohi model pelayanan kita iaitu Yesus Kristus.

Sesi yang kedua bertajuk Engkau Diutus. Melalui sesi ini, peserta diajak untuk merenung kembali proses panggilan masing-masing dengan mengambil kisah-kisah panggilan para rasul. Peserta diberikan peneguhan bahawa proses panggilan untuk melayani bagi setiap peribadi adalah berbeza-beza namun persamaan yang ketara ialah untuk melayani. Malahan, kehadiran para peserta ke rekoleksi ini merupakan salah sebuah proses yang telah dilalui.

Pengerusi-pengerusi Zon

Antara kisah yang telah dikongsikan dengan para peserta ialah, Markus 1 : 16-20, Yohanes 15 : 16, Lukas 5 : 1 -11 dan Yohanes 1 : 35 – 51. Melalui kisah-kisah ini, para peserta diajak untuk melihat bagaimana Yesus melihat apa yang dilakukan oleh masyarakat pada ketika itu dan kemudian memanggil mereka (para rasul) untuk mengikutiNya. Jawapan atau keputusan yang diambil oleh para murid merupakan pelengkap kepada proses panggilan. Walau bagaimanapun, keputusan yang diambil oleh para murid tidak disertai dengan syarat, alasan mahupun keterangan tentang apa yang akan mereka hadapi kelak. Peristiwa ini meneguhkan para peserta rekoleksi agar fokus dalam pelayanan dengan meneladani keperibadian Yesus agar tidak tersasar daripada pelayanan.

Pengerusi-pengerusi KUK

Perayaan Misa Kudus Hari Raya Pentakosta merupakan kemuncak rekoleksi kerana semua ahli Majlis Pastoral Paroki, semua ahli komiti, Zon dan Kuk diutus untuk sesi pelayanan 2021-2024. Dalam homili, Rev. Fr. Christopher melontarkan beberapa persoalan kepada semua yang hadir dalam misa mahupun umat yang mengikuti secara dalam talian iaitu, adakah pintu hati saya terbuka atau tertutup (dikunci)? Jika pintu hati itu tertutup, mengapa? Adakah kamu takut untuk menerima Tuhan? Adakah kamu tidak mahu merasakan damai sukacita Tuhan? Bagaimanakah untuk mendapatkan damai itu?

Persoalan-persoalan yang dilontarkan bukan sahaja memberi peluang kepada semua untuk merenung semula perkembangan iman masing-masing tetapi juga merupakan satu peluang untuk menyedari bahawa semua perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian terutama sekali pada musim pandemik ini merupakan tanda cinta kasih dan kepedulian Yesus terhadap manusia.

Semua utusan MPP, Pengerusi Komiti, Zon dan KUK

Rev. Fr. Christoper menyeru kepada semua peserta yang akan diutus supaya sentiasa berpusatkan kepada Yesus. Semua yang mengatakan ‘YA’ kepada pelayanan mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagaimana anggota tubuh badan kita berfungsi. Kehilangan salah satu fungsi akan menjadikan rutin seharian tidak sempurna, demikian juga dalam pelayanan, semua perlu bersatu dalam segala aspek agar dapat mencapai perkara yang ingin ditujui iaitu menyebarkan khabar gembira sukacita Yesus kepada semua dengan menghidupi sakramen – sakramen gereja.

Ahli MPP sesi 2021-2024

Tahniah kepada semua ahli Majlis Pastoral Paroki St. Martin, Telupid, para Pengerusi Komiti, Zon dan KUK bagi sesi 2021 – 2024. Selamat melayani dan berkarya.