Harry Francis Kamuntah
Pada 28 November 2021 yang baru lalu, Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan, KBKS, telah menganjurkan satu lagi program secara maya melalui aplikasi Zoom bersempena musim Adven dan Krismas tahun ini. Program ini telah disertai oleh seramai 73 orang yang terdiri daripada majoritinya orang muda dari paroki-paroki dalam Keuskupan Sandakan.
Pengisian program pada kali ini disempurnakan oleh Diakon Raymond Lee yang menyampaikan perkongsian tentang apa sebenarnya Adven dan Krismas yang kita rayakan setiap tahun.
Beliau bermula dengan menyatakan bahawa Adven merupakan tempoh di mana kita sebagai umat Katolik bersedia untuk ketibaan Yesus Kristus pada waktu Krismas.
Diakon Raymond seterusnya mengupas asal-usul perayaan Krismas yang disambut setiap 25hb Disember setiap tahun. Menurut beliau, terdapat beberapa pendapat yang cuba untuk menjelaskan ini. Salah satunya adalah menurut seorang ahli sejarah Romawi Bernama Sextus Julius Africanus. Penjelasan beliau adalah berdasarkan kiraan balik dari tarikh 25hb Disember berdasarkan rujukan-rujukan beliau terhadap beberapa perkara dalam alkitab dan kalendar setempat pada masa itu. Beliau mengajukan 25hb Mac sebagai tarikh konsepsi Yesus dan seterusnya menjalani masa dalam kandungan selama 9 bulan. Satu lagi penjelasan yang diberi adalah berdasarkan mulanya empayar Romawi mengangkat agama Kristian sebagai agama rasmi empayar pada masa pemerintahan Kaisar Constantine pada tahun 336. Langkah merayakan Krismas pada 25hb Disember dilihat sebagai langkah untuk melemahkan pegangan para rakyat pagan Roma ketika itu yang menyambut perayaan Sol Invictus pada tarikh yang sama. Sungguhpun terdapat beberapa penjelasan yang berbeza, namun, Diakon Raymond menekankan bahawa perayaan ini adalah untuk kita merayakan kelahiran Tuhan kita Yesus Kristus.
Setelah itu, Diakon Raymond menyentuh beberapa aspek yang begitu ketara dengan musim Adven dan Krismas. Beliau bermula dengan warna-warna liturgi. Beliau menyatakan bahawa terdapat tiga warna utama yang digunakan semasa musim Adven dan Krismas iaitu, ungu, merah jambu dan putih. Warna ungu membawa maksud persediaan dan pertobatan yang para umat lalui dalam persediaan menuju Krismas. Merah jambu pada minggu ketiga Adven pula melambangkan sukacita. Sukacita para umat akan antisipasi kelahiran dan kedatangan Tuhan. Manakala putih pula melambangkan kesucian.
Pembacaan minggu yang kita dengar sepanjang musim Adven pula bertemakan persediaan kita menuju Krismas. Diakon Raymond mengingatkan para peserta untuk mengambil masa merenung setiap pembacaan untuk lebih dapat menghayati iman kita sebagai seorang Katolik.
Diakon Raymond seterusnya membawa para peserta kepada lagu-lagu yang dimainkan sepanjang musim ini. Beliau menyatakan bahawa tidak salah untuk mendengar lagu-lagu yang sudah menjadi kebiasaan kepada semua. Namun, bukan semuanya sesuai dimainkan lebih-lebih lagi dalam perayaan misa. Ini adalah kerana Krismas telah dikomersilkan secara besar-besaran dan sebagai umat, kita harus peka terhadap apa yang boleh dan tidak boleh dimainkan semasa perayaan besar gereja kita ini.
Beliau seterusnya membawa para peserta kepada lingkaran Adven yang biasa kita lihat setiap kali kita masuk kepada musim Adven dan Krismas di gereja. Diakon Raymond menyatakan bahawa lingkaran ini adalah unik dan hanya untuk musim Adven dan Krismas sahaja. Lingkaran hijau ini melambangkan pengharapan terhadap masa hadapan yang lebih baik. Ianya dikatakan diadaptasi daripada tradisi pagan. Seperti juga dengan tarikh kelahiran Yesus, ianya merupakan satu cara untuk membawa orang pagan mengenali dan mengimani agama Kristian pada masa itu. Lilin yang terpasang pada lingkaran tersebut melambangkan empat minggu Adven dan warnanya mengikut warna liturgi gereja. Menyalakan lilin-lilin tersebut setiap minggu selama Adven melambangkan pengharapan dan penantian dengan gembira akan kedatangan juruselamat kita Yesus Kristus.
Palungan Krismas merupakan salah satu lagi identiti Krismas yang sudah menjadi sebahagian daripada Krismas. Diakon Raymond mengongsikan bahawa tradisi ini bermula dengan St. Francis of Assisi. Kisahnya, St. Francis telah berziarah ke Bethlehem pada tahun 1221 dan dia telah pergi untuk menziarahi tempat yang dikatakan sebagai tempat di mana Yesus dilahirkan. St. Francis sangat tersentuh akan apa yang dilihatnya dan dia berharap bahawa setiap umat dapat berziarah ke tempat tersebut dan mengalami apa yang dia telah alami. Tidak lama setelah itu, tercetus pertelingkahan politik yang menyebabkan kekecohan dan menjadikan usaha berziarah tidak dapat disempurnakan oleh umat-umat yang lain. St. Francis terinspirasi untuk membawa pengalaman palungan itu kepada semua umat dan dia telah menjadikannya satu kenyataan dengan palungan pertama pada tahun 1223 di Greccio, Italy. Bezanya dengan palungan masakini adalah palungan ini dilengkapkan oleh pelakon yang membawa watak-watak tertentu malah haiwan-haiwan dalam pementasan itu juga adalah haiwan-haiwan yang betul dan hidup. Seiring dengan peredaran zaman dan teknologi, palungan yang kita lihat sekarang adalah statik namun, tambah Diakon Raymond, seperti apa yang berlaku terhadap St. Francis, adalah diharapkan bahawa pemandangan palungan ini dapat membawa kita semuanya kepada satu pengalaman iman yang lebih dalam lagi.
Satu lagi yang sangat sinonim dengan Krismas adalah Santa Claus. Diakon Raymond mengongsikan bahawa sebenarnya Santa Claus tidak wujud dalam alkitab. Pun begitu, kisahnya dikatakan bermula dengan seorang santo dalam gereja iaitu St. Nicholas. Dia berasal dari Bari di Itali. Datang dari keluarga yang kaya dan hasil didikan orang tuannya, yang selalu mengingatkan dia untuk bermurah hati, St. Nicholas terkenal sebagai seorang yang sangat suka bersedekah. Karakter Santa Claus ini terwujud hasil daripada imaginasi, Washington Irving di New York pada tahun 1809. Beliau menggambarkan St. Nicholas di dalam hasil tulisannya, Knickerbocker’s History of New York, seperti apa yang kita lihat sekarang. Melalui karakter ini, sama seperti lagu-lagu, kata Diakon Raymond, Krismas telah dikomersilkan untuk perniagaan. Memandangkan Santa Claus bukanlah satu imej apa itu Krismas sebenarnya, seharusnya ianya tidak digunakan dalam gereja.
Diakon Raymond menyambung lagi tentang rusa yang kita kenali sebagai Rudolph. Asal usul rusa ini adalah hasil ilham Robert L. May yang ditugaskan untuk tujuan pemasaran sebuah gedung beli-belah, Montgomery Ward, di Chicago, Amerika Syarikat. Ianya merupakan salah satu karakter dalam buku cerita yang diberikan secara percuma kepada pengunjung gedung beli-belah tersebut semasa musim cuti hujung tahun. Diakon Raymond mengingatkan bahawa karakter ini adalah hasil komersialisi Krismas dan tidak seharusnya digunakan di gereja.
Seperkara lagi yang disentuh oleh Diakon Raymond adalah berkenaan pokok Krismas. Beliau mengongsikan bahawa tradisinya bermula di Jerman oleh St. Boniface. Kisahnya adalah dalam usaha penginjilannya kepada orang-orang Jerman ketika itu, St. Boniface mendapat tahu tentang sebuah perkampungan di Geismar, yang mana penduduk kampung tersebut, setiap musim sejuk, akan berkumpul sekitar sebatang pokok oak yang mereka gelar sebagai Thunder Oak yg didedikasikan kepada tuhan mereka Thor. Penyembahan penduduk kampung Geismar juga disertai dengan upacara korban seorang kanak-kanak. Terdetik untuk menginjil kepada penduduk kampung tersebut, dia dan beberapa teman berkumpul untuk pergi ke kampung tersebut. Di sana dia telah melakukan suatu perkara tidak terduga dengan menebang pokok oak tersebut. Penduduk kampung tersebut tergamam dengan apa yang St. Boniface telah lakukan dan pada masa itu, St. Boniface mengambil peluang untuk memberitakan khabar gembira kepada para penduduk kampung tersebut dan menggunakan sebatang anak pokok fir di belakang pokok oak yang baru tumbang sebagai bahan dalam usaha penginjilannya. Dia menggambarkan pokok fir itu sebagai satu pokok perdamaian, lambang kehidupan kekal kerana daunnya yang kekal hijau sepanjang tahun dan bagaimana ianya meruncing menunjuk ke arah syurga. St. Boniface seterusnya menganjurkan agar pokok tersebut dipanggil sebagai The tree of the Christ-child. Dia menyeru agar para penduduk kampung meninggalkan kebiasaan mereka sebelum ini dan merayakan cintakasih dan belas kasihan.
Ini merupakan satu lambang iman yang sentiasa segar dan selari dengan apa yang kita imani. Sama seperti palungan Krismas yang dianjurkan oleh St. Francis.
Diakon Raymond mengakhiri perkongsiannya dengan mengingatkan para peserta agar jangan terpesong dengan Krismas versi komersil seperti apa yang kita lihat sekarang. Sebaliknya, sebagai umat Katolik kita seharusnya lebih peka terhadap panggilan iman kita untuk lebih mendalami maksud sebenar Adven dan Krismas. Fokus utama kita, katanya, adalah kepada Yesus Kristus juruselamat kita.
Sesi seterusnya adalah sesi soal jawab di mana para peserta diberi peluang untuk bertanya sekiranya ada yang mereka kurang faham. Antara pertanyaan yang ditimbulkan adalah tentang palungan dan warna-warna yang boleh digunakan untuk menghias gereja. Diakon Raymond telah menjawab pertanyaan-pertanyaan yang diajukan. Disebabkan oleh kekangan masa, pihak KBKS telah mengambil inisiatif untuk merekod persoalan lainnya yang tidak sempat dijawap dan akan cuba untuk dijawab pada masa atau sesi akan datang.
Usai sesi soal jawab, program maya Adven dan Krismas anjuran KBKS telah ditutup dengan doa.
Secara keseluruhannya, program ini telah dapat membawa kesedaran kepada para peserta tentang apa itu Adven dan Krismas. Mereka sangat gembira kerana sekali lagi, selepas penganjuran Hari Belia Sedunia Ke-36 peringkat Keuskupan Sandakan, mereka sekali lagi berpeluang untuk berkumpul dan mengayakan iman mereka melalui program ini.