Herry Francis Kamuntah
Pada 21 November 2021 yang lalu, bersempena Hari Minggu Kristus Raja, Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan (KBKS) telah menganjurkan perayaan Hari Belia Sedunia Ke-36 peringkat Keuskupan secara maya melalui aplikasi Zoom yang melibatkan seluruh warga belia Keuskupan Sandakan. Sejumlah 162 orang muda telah mendaftar dan bersama merayakan program ini.
Sungguhpun perayaan Hari Belia Sedunia pada tahun ini telah dipinda dari Minggu Palma sebelumnya ke Minggu Kristus Raja oleh Bapa Suci Francis namun fokusnya tetap kepada Yesus Kristus penyelamat dunia dan sebagai langkah supaya ianya dapat dirayakan secara penuh kesyukuran tanpa menggangu persiapan Minggu Suci.
Dalam perayaan ini, Bapa Uskup Julius Dusin Gitom telah dijemput untuk memberi perkongsian beliau yang berdasarkan mesej Bapa Suci Francis. Beliau membawa para peserta untuk merenungkan maksud tema Hari Belia Sedunia dari Kisah Para Rasul 26:16, ‘Bangunlah, Aku menetapkan engkau menjadi saksi tentang apa yang Ku perlihatkan kepadamu.’
Bapa Uskup Julius mengingatkan tentang kepentingan peranan belia di dalam gereja lebih-lebih lagi setelah melalui cabaran sepanjang pandemik Covid-19 ini. Ramai yang terkesan katanya dengan kenaikan dalam masalah keluarga, kehilangan punca pendapatan, kemurungan, kesepian dan ketagihan. Namun kata beliau, belia punya sifat yang unik iaitu kemampuan untuk bersatu dan membentuk perpaduan dan sifat inilah yang dapat menggerakkan gereja untuk bangun dan bermula baru dengan penuh semangat.
Beliau seterusnya membawa para peserta untuk mengikuti kisah St. Paulus dari mana tema kali ini diambil. Merenung kepada masa di mana St. Paulus jatuh dari kuda tunggangannya dan Yesus telah memanggil namanya. Bapa Uskup menekankan bahawa, hanya satu pertembungan secara peribadi dengan Yesus dapat mengubah hidup seseorang. Beliau mengingatkan para belia untuk sentiasa berusaha dengan gigih untuk lebih mendekati Yesus dalam apa cara sekalipun kerana ini akan membawa kepada satu perubahan yang besar dalam hidup para belia.
Beliau juga menyentuh tentang bagaimana seseorang itu tidak dapat mengenali siapa itu Yesus tanpa mengenali gereja. Justeru itu, kehidupan komuniti yang dialami dan dihidupi dalam gereja melalui Ekaristi sebagai puncak dan aktiviti-aktiviti lainnya dalam gereja membawa kepada kesatuan iman dan persaudaraan yang lebih kuat. Beliau sekali lagi mengajak para belia untuk mendalami apa itu gereja dan menghargai kehidupan komuniti sebagai belia.
Bapa Uskup kemudiannya mengulas tentang bagaimana dalam dunia moden ini, para belia terkejar-kejar akan imej yang tidak mencerminkan siapa diri mereka sebenarnya. Kristus katanya, datang kepada kita untuk membawa kita semula kepada realiti diri kita. Dia menunjukkan kepada kita siapa kita sebenarnya dan untuk itu amat menyayangi kita. Bapa Uskup mengingatkan para belia bahawa belia perlu sedar bahawa, hal duniawi tidak menjamin apa-apa, sebaliknya iman percaya kita kepada Yesus adalah sumber sukacita dan pengharapan yang benar. Oleh itu, jadilah diri kita yang sebenar, diperkuatkan oleh kasih Yesus.
Bapa Uskup seterusnya membawa para belia kepada bagaimana St. Paulus boleh berubah menjadi seorang rasul yang tidak henti-henti bersaksi mengabarkan khabar gembira penyelamatan Yesus kepada orang lain. Beliau menyeru para belia untuk bangkit dan seperti St. Paulus bersedia menjadi saksi Yesus kepada semua orang.
Selesai perkongsian Bapa Uskup Julius, sesi seterusnya diambilalih oleh Saudara Gregory Harumal, wakil KBKS dari Tawau dan dia membawa para peserta untuk menelusuri sejarah perayaan Hari Belia Sedunia.
Dalam perkongsiannya, Saudara Gregory menyampaikan bahawa secara rasminya Hari Belia Sedunia diinstitusikan pada tahun 1985 hasil terinspirasinya Bapa Suci John Paul II oleh Jubili Belia semasa Minggu Palma pada tahun 1984. Pada pertemuan tersebutlah, di mana 300,000 orang muda dari seluruh dunia berkumpul, Bapa Suci John Paul II mengamanahkan kepada para belia, salib Hari Belia Sedunia yang sehingga kini sinonim dengan perayaan itu sebagai simbol cintakasih Kristus kepada umat manusia. Seterusnya, Hari Belia Sedunia yang pertama diadakan pada tahun 1986 di Roma, Itali.
Saudara Gregory menambah bahawa konsep penganjuran Hari Belia Sedunia adalah pada dasarnya mengikut model yang telah dijalankan oleh pergerakan Light-life yang telah wujud di Poland sejak tahun 1960an lagi. Pergerakan ini mengadakan kem musim panas untuk para orang muda yang berlangsung selama 13 hari di mana para peserta akan merayakan hari komuniti.
Seterusnya, para Uskup di setiap Keuskupan digesa untuk merayakan Hari Belia Sedunia peringkat Keuskupan masing-masing pada setiap Minggu Palma setiap tahun. Namun bermula tahun 2021, ianya telah dipinda kepada Minggu Kristus Raja untuk sebab-sebab yang telah dinyatakan pada awal artikel ini. Perayaan peringkat dunia pula telah ditetapkan untuk diadakan setiap dua atau tiga tahun di lokasi-lokasi berlainan.
Setelah membawa para peserta untuk melihat setiap penganjuran Hari Belia Sedunia yang lepas, Saudara Gregory mengakhiri perkongsiannya dengan mengingatkan kepada semua seruan Bapa Suci Francis, ‘Wahai orang muda, jangan pendamkan talentamu, anugerah yang telah diberikan kepadamu oleh Tuhan! Jangan takut untuk mempunyai impian untuk perkara-perkara yang hebat!’.
Seterusnya, program bergerak kepada perkongsian sesama peserta di dalam breakout rooms. Para peserta berkongsi tentang bagaimana mereka dapat menghidupi tema Hari Belia Sedunia 2021 dan apakah yang mereka boleh sumbangkan melalui jemputan Tuhan ini kepada mereka di Keuskupan sendiri ataupun di mana sekalipun mereka berada. Setelah tempoh perkongsian dalam kumpulan kecil selesai, perkongsian secara umum telah dijalankan.
Secara keseluruhannya, para peserta sangat bersyukur, gembira dan bersemangat kerana sungguhpun dalam keadaan pandemik ketika ini, terdapat saluran di mana mereka dapat bersama dengan belia-belia lain sekeuskupan untuk merayakan iman mereka sebagai seorang belia Katolik. Kerinduan untuk bertemu secara fizikal jelas terasa di kalangan peserta.
Kehadiran Bapa Uskup Julius, para paderi dan religius sehingga tamatnya program juga sangat bermakna bagi setiap peserta yang hadir. Sokongan dan dukungan mereka sangat dihargai oleh para peserta semuanya.
Perayaan Hari Belia Sedunia peringkat Keuskupan Sandakan diakhiri dengan semua peserta mendoakan Doa Belia Keuskupan dan seterusnya diberkati oleh Bapa Uskup Julius sendiri.